IPOH – Jumlah mangsa banjir di Negeri Perak yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) menurun kepada 106 orang pada Selasa berbanding 117 orang semalam.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, seramai 35 keluarga masih berada di tiga PPS dengan satu di daerah Perak Tengah dan dua di Kinta setakat pagi Selasa.
Katanya, PPS Dewan Orang Ramai Kampung Teluk Kepayang Bota di Perak Tengah menempatkan 34 mangsa daripada 11 keluarga dari Kampung Pulau Misa.
“Sementara di Kinta, PPS Dewan Serbaguna Tanjung Tualang menempatkan 29 mangsa daripada 10 keluarga, sementara 43 mangsa daripada 14 keluarga masih berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan St Paul.
“Mereka yang berada di PPS adalah dari kawasan terjejas iaitu Kampung Tanjung Tin, Kampung Pasir, Kampung Sikh, dan Kampung Ayer Papan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.
Sementara itu tambahnya, Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) memaklumkan, aras air di Sungai Perak di dua lokasi di negeri ini melepasi tahap normal.
Katanya, paras sungai di Stesen Sungai Rui di Hulu Perak berada pada tahap amaran dengan bacaan 165.85 meter, sementara di Stesen Sungai Kampar di Kampung Baru Kuala Dipang Kampar merekodkan tahap waspada (21.88 meter).
Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan semua daerah di Perak dijangka mengalami cuaca ribut dan hujan dari sebelah petang sehingga malam. – MG Perak
Artikel Berkaitan: