Banjir Perak: Masjid laksana solat hajat, kutipan derma

IPOH – Semua masjid di seluruh Perak melaksanakan solat hajat khas serta kutipan sumbangan bagi membantu meringankan beban mangsa yang terjejas banjir di beberapa daerah ketika ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, langkah itu dilaksanakan bagi mendoakan kesejahteraan umat Islam khususnya mangsa banjir serta menggerakkan solidariti bantuan menerusi tabung bencana masjid.

“Kita telah mengarahkan semua masjid untuk mengadakan solat hajat selepas solat Jumaat bagi kesejahteraan umat Islam khususnya mereka yang terjejas banjir di seluruh Perak.

“Pada masa sama, kita mohon pihak masjid turut melaksanakan kutipan Jumaat untuk dimasukkan ke dalam tabung bencana bagi membantu mangsa-mangsa yang terjejas,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Menurut Harith Fadzilah, kutipan derma berkenaan akan dijalankan selama tiga minggu berturut-turut iaitu bermula Jumaat hingga 7 November depan.

Sementara itu beliau memaklumkan setakat ini, sebanyak tiga buah masjid dilaporkan terjejas teruk akibat banjir.

Kata beliau, ia melibatkan Masjid Husainiah Batu 9, Changkat Jering; Masjid Kampung Dew, Bagan Serai dan Masjid Tengku Menteri, Matang.

“Pihak Bahagian Pengurusan Masjid juga telah memohon setiap pejabat tadbir agama daerah untuk melaporkan sekiranya terdapat kemudahan lain yang turut terkesan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Harith Fadzilah memberitahu beberapa Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) di daerah Manjung serta Larut, Matang dan Selama (LMS) turut terjejas.

Antara sekolah terlibat ialah SRAR Ahmadiah Pangkor, SRAR Tadrijiah Pekan Beruas dan SRAR Tebuk Yan 2, Pantai Remis.

Sementara di LMS pula, ia membabitkan SRAR Nurul Jannah, Changkat Larah; Madrasah Addiniah, Jelutong; Madrasah Al Ibrahimiah, Banggol Nering dan SRAR Islahiah, Trong. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Perak Dilanda Banjir

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI