PARIT – Penduduk di sekitar daerah Perak Tengah meluahkan rasa bimbang peristiwa banjir besar pada 2014 berulang susulan hujan lebat yang menyebabkan air naik sejak semalam.
Tinjauan MG Perak di daerah tersebut mendapati beberapa kawasan masih dinaiki air antaranya di Kampung Pulau Misa Melayu di Kampung Kepayang, Kampung Pulau Tiga Kiri, Kampung Gajah dan Jalan Padang Koba di Kampung Teluk Bakong Hulu.
Seorang penduduk, Shahrul Nizam Mat Salleh, 52, ketika ditemui berkata, hujan lebat tanpa henti dari jam 12 tengah hari semalam menyebabkan rumah pusaka yang didiami sejak lahir dinaiki air.
Menurutnya, sekitar jam 10.30 malam air mula naik mendadak dan pada ketika itu dia dan isteri cuba menyelamatkan barang-barang yang terletak di bahagian bawah rumah.
“Semalam air hanya berada di bawah lutut tetapi hari ini air dalam rumah sudah naik sampai paras pinggang.
“Banjir ini berlaku mungkin disebabkan limpahan air dari Sungai Perak.
“Selain itu, hujan tanpa henti di sebelah utara seperti di Sungai Siput, Kuala Kangsar dan Taiping mungkin antara punca.
“Mungkin juga (hujan) dari Baling (Kedah) menyebabkan berlakunya banjir kerana ia bersempadan dengan Sungai Perak,” katanya pada Rabu.
Dalam pada itu, Shahrul Nizam turut bimbang jika kejadian banjir besar 10 tahun lalu akan menimpa kampungnya sekali lagi.
Katanya, pada 2014, banjir yang berlaku lebih teruk kerana air naik sehingga ke paras dada.
“Biasalah kita manusia, tentulah kita risau. Tapi, anak semua dah besar dan tidak tinggal di sini.
“Buat masa sekarang isteri menetap sementara waktu di rumah anak di Changkat Lada. Saya masih tinggal di sini kerana mengawasi barangan di rumah.
“Saya risau untuk meninggalkan rumah kerana sewaktu banjir besar 10 tahun lalu, ada orang yang mengambil kesempatan mencuri barang di rumah,” jelasnya yang bekerja kampung. – MG Perak
Artikel Berkaitan: