IPOH – Situasi banjir di negeri Perak semakin pulih apabila sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup dengan tujuh masih beroperasi, setakat jam 8 pagi Isnin.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak berkata, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Bharu di daerah Manjung ditutup pada jam 9 malam Khamis selepas kesemua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Katanya, ia menjadikan angka mangsa banjir yang masih berlindung di tujuh PPS di tiga daerah adalah 613 orang daripada 174 keluarga.
“Seramai 163 mangsa banjir daripada 47 keluarga ditempatkan di dua PPS di Manjung iaitu Sekolah Rendah Agama Rakyat Padang Serai dan SK Kayan Lekir.
“Sementara di Hilir Perak, 304 mangsa daripada 80 keluarga terus berlindung di empat PPS yang masih dibuka.
“PPS berkenaan adalah, Dewan Serbaguna Kampung Sungai Rubana, Dewan Serbaguna Kampung Padang Tembak, Dewan Rumah Rehat Majlis Perbandaran Teluk Intan Bandar Baru serta Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, pada masa sama 146 mangsa daripada 47 keluarga terjejas banjir di Bagan Datuk masih berlindung di PPS Dewan Kompleks Belia dan Sukan Bagan Datuk.
Dalam pada itu katanya, Jabatan Pengairan dan Saliran memaklumkan paras air di dua sungai di Perak telah melepasi paras waspada setakat pagi Isnin.
“Aras sungai di Stesen Sungai Bidor Changkat Jong merekodkan bacaan 3.65 meter iaitu aras bahaya berbanding normal 2.00 meter.
“Sementara itu, stesen di Sungai Slim di Slim River mencatatkan bacaan 25.34 meter iaitu aras amaran berbanding aras normal 23.50 meter,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


