Banjir Sabah, Sarawak: RM24 juta untuk bangun semula infrastruktur terjejas – PM

IPOH – Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM24 juta bagi pembangunan semula infrastruktur yang terjejas akibat bencana banjir di Sabah dan Sarawak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu disalurkan sebagai keprihatinan kerajaan terhadap rakyat yang terjejas dengan bencana alam.

“Kita mempersiapkan (peruntukan) kira-kira RM24 juta untuk kita segera memperbaiki kerosakan-kerosakan besar (infrastruktur akibat bencana banjir di Sabah dan Sarawak), kita luluskan.

“Ini pandangan (inisiatif) yang tidak ikut negeri, tidak ikut musim. Tapi (sebaliknya ia) ikut tanggungjawab, dan sebab itu kita lakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kenduri Rakyat di Pekarangan Masjid Al-Muttaqin Taman Meru, dekat sini, pada Jumaat.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid.

Selain itu Anwar berkata, kerajaan juga telah mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) agar menyegerakan bantuan kewangan RM1,000 kepada setiap keluarga yang terjejas di dua negeri berkenaan.

Jelas beliau, selain mangsa banjir, bantuan kewangan itu turut akan disalurkan kepada mereka yang terjejas dengan kebakaran dan kejadian tanah runtuh.

Anwar pada Khamis dilaporkan telah mengarahkan NADMA untuk memperkemaskan penyelarasan seluruh kekuatan jentera agensi persekutuan dan negeri bagi membantu mangsa banjir di Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, keutamaan ketika ini adalah kebajikan mangsa banjir serta keselamatan penduduk di kawasan terkesan.

Setakat tengah hari Jumaat, Pusat Kawalan Bencana Negara NADMA memaklumkan seramai 11,904 mangsa banjir di Sarawak dan 5,725 di Sabah dipindahkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS). – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Banjir memburuk di Sarawak, 57 PPS setakat ini

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI