IPOH – Kerajaan Negeri Perak menerusi Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak (MAIPk) menyediakan skim bantuan sewa dan bina rumah kepada mualaf Orang Asli yang memerlukan di negeri ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, selain itu MAIPk serta Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) turut menawarkan sokongan kaunseling serta bantuan emosi bagi mereka yang tinggal bersama keluarga bukan Islam supaya dapat menyesuaikan diri dengan perubahan akidah tanpa menjejaskan hubungan kekeluargaan.
Menurutnya, MAIPk dan JAIPk juga turut menjalankan program dakwah secara berterusan dengan pendekatan yang bersifat inklusif dan berperingkat supaya tidak menimbulkan konflik dalam keluarga bercampur agama.
“Pelbagai bentuk kelas bimbingan dan program pengukuhan akidah telah dilaksanakan khusus untuk golongan tersebut.
“Antaranya ialah Program Pemantapan Ibadah dan Akidah yang merangkumi ceramah agama, slot tazkirah dan motivasi, latihan dalam kumpulan bagi membina kefahaman Islam, praktikal solat, amali ibadah harian serta kelas bimbingan mualaf.
“Selain itu, kelas pengajian secara berkala turut diadakan di pejabat agama daerah meliputi pengajaran asas fardu ain, pembacaan dan pemahaman al-Quran, pengukuhan akidah melalui kisah para nabi dan sahabat, perbincangan isu semasa berkaitan cabaran hidup sebagai mualaf serta aktiviti ziarah dan pemantauan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Salina Samsudin (BN-Behrang) pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Ketiga, Dewan Negeri Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Rabu.
Dalam pada itu, Pegawai Mubaligh Islam dan Penggerak Masyarakat Orang Asli juga sentiasa melakukan lawatan berkala ke rumah mualaf Orang Asli bagi memantau perkembangan akidah dan memberi nasihat secara peribadi.
“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), MAIPk dan JAIPk juga bekerjasama melantik Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA) 58 orang; Muballigh Islam (56); Guru Asas Pengajian Islam Muallaf (APIM) (75); dan Guru Takmir Orang Asli (22),” ujarnya.
Katanya, inisiatif berterusan ini dilaksanakan di perkampungan Orang Asli seluruh Perak bagi memastikan pemahaman Islam dapat dihayati serta akidah masyarakat Orang Asli yang memeluk agama Islam terus terpelihara. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


