TAMAN Negeri Royal Belum di Gerik dalam daerah Hulu Perak adalah salah satu kawasan hutan hujan tropika yang kaya dengan biodiversiti dan menjadi kawasan ekopelancongan alam semula jadi terkenal di Malaysia.
Berkeluasan 117,500 hektar dengan usia lebih 130 juta tahun, menjadikannya lebih hutan tertua di dunia lebih tua daripada hutan Amazon.
Hutan Belum-Temengor ini juga telah diwartakan sebagai Taman Negeri Perak dan diisytihar semula sebagai `The Royal Belum’ oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibuddin Shah pada 31 Julai 2003.
Memiliki kepelbagaian flora dan fauna yang luar biasa termasuk spesies haiwan yang jarang ditemui seperti harimau Malaya, gajah dan tapir hutan ini menyimpan pelbagai jenis tumbuhan unik termasuk yang boleh dijadikan ubat-ubatan.
Kunjungan ke Royal Belum hanya lengkap jika menjejakkan kaki ke perkampungan orang Asli yang penduduknya terdiri daripada suku Jahai bagi melihat dan mengenali dengan lebih dekat budaya masyarakat orang asal puak Negrito itu.
Tidak culas beri sumbangan sejak 2017
Menyedari hakikat itu, Yayasan Emkay berganding bahu dengan pelbagai pihak bagi mendampingi dan memberikan sokongan serta bantuan kepada komuniti kanak-kanak orang Asli di kawasan Belum-Temengor khususnya yang bersekolah.
Bermula pada 2017 yayasan ini tidak pernah culas dalam menyampaikan pelbagai bentuk sumbangan termasuklah pemberian pakaian seragam sekolah baharu.
Pada tahun ini, menerusi sumbangan korporat antaranya EMKAY Group, Steelcase Office Solutions Sdn Bhd dan lain-lain penderma organisasi serta individu sejumlah 400 pasang pakaian seragam sekolah berjaya disumbangkan.
Pengurus Yayasan Emkay, Nurhanisah Mohd Mokhtar berkata, sumbangan itu melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiang, Royal Belum dan SK Sekolah Kebangsaan (SK) Rancangan Penempatan Semula (RPS) Banun, Temengor.
Menurutnya, pakaian seragam sekolah itu adalah sebagai persediaan pelajar untuk menghadapi sesi persekolahan baharu yang akan bermula 17 Februari depan.
“Hari ini kita, menyerahkan sumbangan 400 pasang pakaian seragam sekolah baharu untuk sesi persekolahan 2025. Di SK Sungai Tiang kita serahkan sebanyak 125 pasang baju sekolah melibatkan murid dari Kampung Sungai Tiang dan Kampung Sungai Kejar.
“Program tahunan Yayasan Emkay ini bermula dari 2018 sudah masuk tahun kelapan kami memberikan sumbangan untuk kanak-kanak orang Asli komuniti Belum-Temengor di Gerik,” katanya ketika ditemui MG Perak di SK Sungai Tiang, Royal Belum baru-baru ini.
Turut serta dalam program tersebut adalah wakil daripada Fakulti Sains Gunaan dan Institut Biodiversiti dan Pembangunan Lestari (IBSD).
Geran RM10,000 bantu projek teh kombucha
Dalam perkembangan berkaitan, Nurhanisah memaklumkan, Yayasan Emkay turut menyampaikan Geran Perusahaan Sosial sebanyak RM10,000 kepada komuniti orang Asli Kampung Sungai Tiang bagi membantu projek penghasilan teh kombucha tersebut.
Katanya, projek tersebut melibatkan murid yang mengikuti mata pelajaran Sains terdiri daripada murid Tahun Empat, Lima dan Enam termasuk alumni SK Sungai Tiang serta dibantu guru mereka.
Tambahnya, projek ini juga unik kerana mengintegrasikan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dengan pengetahuan tradisional melalui penghasilan kombucha.
“Bertepatan dengan Hari Pendidikan Antarabangsa yang disambut pada setiap 24 Januari, Yayasan EMKAY mengimpikan lebih ramai anak-anak dari kawasan tersebut berpendidikan tinggi dalam pelbagai cabang sama ada dalam bidang akademik atau kemahiran (TVET).
“Geran ini bertujuan untuk menyokong inisiatif yang menggabungkan pembangunan komuniti dengan peluang ekonomi yang mampan.
“Guru yang terlibat akan membantu murid terlibat di dalam makmal untuk pembiakan bakteria bagi penghasilan teh kombucha kemudian dibotolkan.
“Selepas itu, guru terbabit akan menjual produk tersebut di pasaran di dalam seminar atau bengkel yang pihak sekolah sertai.
“Penghasilannya teh kombucha ini adalah terhad dan merupakan antara kualiti yang terbaik dihasilkan di sini.
“Kami berharap ia dapat membantu sosio-ekonomi mereka pada masa akan datang menerusi penjualan teh kombucha. Setakat ini, sebanyak 105 botol telah dijual dengan harga RM35 sebotol,” ujarnya.
Beliau berkata, pihaknya akan terus memantau projek teh kombucha yang dilaksanakan di sekolah terbabit sehingga Jun depan.
“Kalau ada kesinambungannya kita akan sambung di sekolah ini dahulu dan kalau ada kepercayaan di pihak berkuasa tempatan (PBT) di Gerik, mungkin kita akan membantu di SK Kuak Luar, inshaALLAH,” jelasnya.
Anak-anak orang Asli bersemangat menimba ilmu
Sementara itu, Guru Besar SK Sungai Tiang, Mohd Rezal Shuib berkata, sepanjang pengalamannya mengajar anak-anak orang Asli hampir 10 tahun mereka dilihat amat berminat untuk menuntut ilmu.
“Pengalaman saya lihat kanak-kanak orang Asli memang berminat untuk belajar contohnya pada hari ini walaupun dalam cuaca hujan kehadiran amat memuaskan.
“Walaupun hujan, anak-anak ini masih berpakaian sekolah maknanya mereka mengambil berat dari segi pelajaran termasuk ibu bapa.
“Cuma di sini kami berharap dan mengalu-alukan kerjasama daripada pihak luar demi menjaga kebajikan dan kemenjadian murid kerana tanpa sokongan mereka agak sukar untuk kami teruskan pembelajaran di sini.
“Bagaimanapun, itu bukan alasan kerana apa juga halangan tetap kami tempuh. Sebagai contoh boleh lihat kami mengadakan perhimpunan ini pun aktiviti bukan di satu dewan khas.
“Kami tiada dewan tempat secara terbuka di bawah khemah yang disumbangkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya.
Pada masa sama, Mohd Rezal menzahirkan ucapan terima kasih di atas segala bantuan yang disumbangkan kepada sekolah ini.
“Saya berbesar hati di bawah Yayasan Emkay sudi memberi bantuan pakaian sekolah kepada murid untuk bersekolah.
“Ini juga satu kebaikan atau kelebihan menunjukkan semua jabatan, NGO bersedia untuk bantu termasuk Yayasan Emkay dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA),” ujarnya.
Berdasarkan semakan Data Taburan Entik Orang Asli Mengikut Negeri di laman web rasmi Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Perak berada di tempat kedua dengan 61,589 penduduk terdiri daripada masyarakat orang Asli pada 2023. – MG Perak
Artikel Berkaitan: