TELUK INTAN – Seorang lelaki dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cubaan membunuh anggota polis dengan melanggar kenderaan mereka dalam kejadian yang tular di media sosial di Behrang pada Sabtu lalu.
Tertuduh, Mohd Ameerul Asraf Mohd Saipul, 35, mengaku tidak bersalah selepas jurubahasa mahkamah membacakan kertas pertuduhan di hadapan Hakim, Norhamizah Shaifuddin.
Bapa kepada lima anak itu dilihat menangis ketika tiba di mahkamah dan ditenangkan isterinya sebelum prosiding bermula.
Mengikut pertuduhan, lelaki terbabit didakwa melakukan perbuatan cubaan membunuh sehingga menyebabkan kecederaan kepada Mohd Azizul Yahya, Muhammad Lokman Nulhakim Mahdhir, S Muniya Kaunden dan Noor Azam Man.
Perbuatan itu dilakukan berhampiran stesen minyak Petron Hentian Rehat Behrang arah selatan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dalam daerah Muallim sekitar jam 11 pagi 20 September 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Izzuddin Fakri Hamdan tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius.
Sementara itu, peguam tertuduh, Nur Shaqira Ibrahim memohon supaya satu jaminan minimum terhadap dikenakan terhadap tertuduh.
Menurutnya, tertuduh yang merupakan penanggung tunggal bekerja sendiri dan tidak mempunyai pendapatan tetap.
Katanya, tertuduh perlu menanggung isterinya yang kini mengandung anak keenam serta lima anak berusia antara dua hingga sembilan tahun.
“Isteri dan anak-anak bergantung kepada tertuduh yang memberi perlindungan dan kebajikan sepenuhnya kepada mereka.
“Sehubungan itu, saya memohon supaya jaminan minimum dikenakan terhadap tertuduh yang bukan bersifat menghukum bagi memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah serta dapat mengurangkan kos penahanan yang ditanggung kerajaan,” katanya.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 31 Oktober ini sebagai tarikh serahan dokumen dan sebutan semula kes.
Sebelum ini media melaporkan, sekumpulan anggota polis mengejar dan melepaskan tembakan bagi menahan individu di Lebuhraya PLUS berhampiran Hentian Rawat dan Rehat (R&R) Behrang adalah membabitkan suspek kes pecah rumah.
Dalam kejadian 12.30 tengah hari Sabtu lalu, satu das tembakan dilepaskan polis ke arah tayar kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Aruz yang dipandu suspek lelaki berumur 35 tahun berkenaan dalam usaha memperlahankan kenderaan bagi menangkap suspek. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Ibu menangis teresak-esak mengaku salah cuai sebabkan kematian bayi