TELUK INTAN – Seorang bapa tunggal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Teluk Intan pada Jumaat atas 10 pertuduhan merogol anak perempuannya yang berusia 11 tahun, sejak Jun lalu.
Lelaki berusia 48 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Norhamizah Shaiffuddin.
Mengikut pertuduhan, penganggur itu didakwa merogol mangsa di mana perhubungan tertuduh tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama, adat dan kebiasaan yang terpakai untuk berkahwin.
Perbuatan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Langkap dalam daerah Hilir Perak antara 21 Jun sehingga 25 September 2025.
Lelaki berusia 48 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Norhamizah Shaiffuddin. Foto ABDULLAH YUSOF, 10 OKTOBER 2025.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara lapan tahun dan maksimum 30 tahun serta tidak lebih 10 sebatan jika disabitkan kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anisah Pisol, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Aliff Aiman Rusli.
Ketika prosiding, Anisah tidak mencadangkan wang jaminan kerana mangsa merupakan anak kandung tertuduh, namun sekiranya mahkamah membenarkan lelaki itu untuk diikat jamin, jaminan yang ditawarkan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan di samping syarat tambahan lain.
Syarat tambahan berkenaan adalah tidak dibenarkan tertuduh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai serta melaporkan diri pada setiap bulan di balai polis berhampiran.
Aliff Aiman kemudian memohon mahkamah agar nilai jaminan yang dikenakan dikurangkan atas alasan lelaki yang mempunyai dua anak itu tidak bekerja serta ditanggung oleh adik perempuan.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan berserta syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan.
Mahkamah juga menetapkan 4 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – MG Perak
Artikel Berkaitan: