KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan barisan baharu Kabinet merupakan penerus kehendak rakyat yang memikul amanah besar, menuntut tindakan segera dan keputusan berani.
Menurut perdana menteri, anggota baharu Jemaah Menteri itu juga memikul keupayaan menterjemah kehendak dan nurani setiap lapisan masyarakat menjadi dasar yang berfungsi dan dirasai, bukan sekadar retorik.
“Setiap anggota Kabinet mesti terus bekerja dengan disiplin dan berkhidmat dengan penuh kerendahan hati, memastikan pelaksanaan dasar bergerak pantas, berintegriti serta sampai kepada rakyat tanpa lengah dan sebarang alasan,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, Anwar hari ini mempengerusikan Mesyuarat Kabinet Madani sebaik sahaja Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Menteri dan Timbalan Menteri Persekutuan di hadapan Yang di-Pertuan Agong selesai.
Semalam, Anwar mengumumkan rombakan Kabinet yang menyaksikan seramai 10 lantikan baharu masing-masing melibatkan dua Menteri dan lapan Timbalan Menteri.
Sementara itu, seramai 14 menteri dan timbalan menteri pula bertukar portfolio, manakala 34 menteri dan timbalan menteri dalam Kabinet terdahulu kekal dengan jawatan masing-masing. – MalaysiaGazette


