IPOH – Dua lelaki tempatan yang baharu sahaja berjinak dalam aktiviti pengedaran dadah dicekup pihak polis dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Changkat Larang, Lahat, di sini, pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, kedua-dua suspek berusia 40 dan 54 tahun itu dipercayai mula aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sejak awal Januari tahun ini.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua lelaki itu dan kediaman berkenaan membawa kepada penemuan pelbagai jenis dadah dengan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM9,320.
“Pihak polis telah menjumpai satu bungkusan plastik berbalut dan berikat getah berisi ketulan mampat daun kering disyaki dadah jenis ganja dan lima paket plastik lutsinar berisi dadah yang sama dianggarkan seberat 708.5 gram.
“Selain itu, kita juga menemui tiga paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin anggaran berat 17.40 gram.
“Turut dijumpai enam paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 8.70 gram,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambah beliau, jumlah dadah yang berjaya dirampas polis boleh digunakan seramai 1,000 penagih dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
“Kita juga turut menyiasat kedua-dua lelaki tempatan berkenaan di bawah Seksyen 93A (1) ADB 1952 dan mereka ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan,” katanya.
Yahaya berkata, tindakan pelucutan harta juga telah diambil terhadap suspek di bawah ADB (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan sitaan wang tunai milik suspek sebanyak RM70 dan sebuah motosikal dengan anggaran nilai keseluruhan berjumlah RM10,000. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
601 ditahan berkait dadah dalam Op Tapis Khas Kontinjen Perak
[…] Baru dua bulan edar dadah, dua lelaki dicekup polis […]