IPOH – Tiga individu cedera dalam kemalangan membabitkan bas dan lori di kilometer (KM) 392 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara petang tadi, menyebabkan bas itu terbabas ke dalam gaung.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata mereka yang cedera ialah pemandu dan kelindan bas serta pekerja penyelenggaraan jalan.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.27 petang dan pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim serta Slim River dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Dua mangsa telah dibawa ke hospital oleh orang awam manakala seorang lagi dihantar Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ke Hospital Slim River,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata semua penumpang bas termasuk seorang lagi kelindan dan pemandu lori serta kelindannya tidak cedera dalam kejadian itu.