Batang Padang berpotensi jadi ‘ASEAN Agrotech Distribution Center’ di bawah Perak Sejahtera 2030.

BERKELUASAN 1,794 kilometer persegi dengan kepadatan penduduk sekitar 0.72 orang per hektar Daerah Batang Padang kaya dengan sumber semula jadi terutamanya kawasan hutan simpan dan hasil mineral.

Daerah Batang Padang merangkumi Tapah, Chenderiang, Bidor, Mambang Diawan dan Sungkai dengan Tapah merupakan bandar utama.

Daerah ini juga terletak di antara dua (2) buah zon perancangan metropolitan yang berkembang pesat, iaitu Zon Perancangan Metropolitan Lembah Kinta dan Zon Perancangan Metropolitan Lembah Klang.

Sektor pekerjaan yang ditawarkan di daerah Batang Padang terbahagi kepada pertanian dengan 67.88 peratus dan pembuatan sebanyak 24.72 peratus, manakala selebihnya melibatkan penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman dengan 3.7 peratus.

Pada tahun 2020, bilangan penduduk di daerah Batang Padang dianggarkan seramai 127.3 ribu orang dengan 51.4 peratus lelaki dan 48.6 peratus perempuan dengan komposisi mengikut etnik 65 peratus Bumiputera, 18.31 peratus Cina, 11.6 peratus India dan 0.55 peratus lain-lain.

Projek Penyuraian Trafik Laluan Sehala Jalan Besar Tapah – Kampar di Tapah.

Daerah ini juga amat terkenal dengan aktiviti perlombongan bijih timah sebelum ini namun kini hanya terdapat peninggalan bekas lombong yang diusahakan oleh penduduk tempatan dengan aktiviti penternakan dan perikanan akuakultur.

Dalam kerangka Perak Sejahtera 2030, Batang Padang disasarkan untuk menjadi ASEAN Agrotech Distribution Center kerana kekuatan sumber semula jadi serta keunikan biodiversiti dan warisan budayanya.

Dibawah Pelan Perak Sejahtera 2030 yang diinspirasi oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad Penjenamaan daerah-daerah di negeri Perak mengikut keistimewaan dan potensi penting dalam memacu pertumbuhan dan membangunkan daerah yang seterusnya menjadi hala tuju dalam melonjakkan pertumbuhan.

Potensi yang dimiliki oleh setiap daerah menjadi penanda aras kepada perancangan pembangunan di peringkat pentadbiran daerah.

Saarani dalam ucapannya semasa Perasmian Karnival Batang Padang Sejahtera Tahun 2025 berkata, Batang Padang berpotensi besar untuk menjadi ASEAN Agrotech Distribution Center kerana kekuatan sumber semula jadi serta keunikan biodiversiti dan warisan budayanya.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad memberi makanan kepada ikan baung ketika hadir ke Majlis Penyerahan Jeti Nelayan Darat dan Pelepasan Benih Ikan ke Perairan Umum di Kampung Sungai Ranggas, Tapah Road, pada Jumaat. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

Menurut beliau, pelbagai aset pelancongan seperti Sungai Klah dan Kuala Woh Hot Springs serta air terjun popular seperti Lata Iskandar dan Lata Kinjang menjadikan daerah ini pintu masuk yang penting ke Cameron Highlands dan Perak.

“Pada masa yang sama, masa depan Batang Padang tidak hanya bertumpu pada pelancongan Kedudukannya yang berjiran dengan Tanjung Malim membuka peluang baharu melalui pembangunan Automotive High-Tech Valley (AHTV) yang bakal menawarkan ribuan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan ruang keusahawanan dalam industri automotif dan kenderaan elektrik.

“Kerajaan Negeri mahu penduduk Batang Padang menjadi sebahagian daripada arus pembangunan ini. Ambillah peluang melalui TVET, latihan industri, kursus kemahiran dan peluang keusahawanan agar anak-anak muda di daerah ini dapat mengisi ruang pekerjaan dalam industri automotif masa depan,” katanya.

Selain itu, kehadiran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tapah, institusi teknikal serta pembangunan bandar baharu menjadikan Batang Padang berada pada landasan terbaik untuk berkembang seiring dengan momentum AHTV.

Batang Padang juga turut terkenal dengan ekopelancongan, khususnya di kawasan hutan lipur seperti Lata Kinjang, Lata Iskandar, Lata Gedung dan kawasan rekreasi Kuala Woh.

Pengunjung tidak melepaskan peluang bermandi-manda menikmati kesejukan air terjun Lata Kinjang di Taman Eko Rimba Lata Kinjang, Tapah. Foto ABDULLAH YUSOF.

Berdasarkan Rancangan Tempatan Daerah, terdapat empat kategori produk pelancongan yang dicadangkan untuk daerah Batang Padang, iaitu ekopelancongan, agropelancongan, pelancongan warisan dan budaya dan pelancongan makanan dan minuman.

Saban tahun melalui Belanjawan Perak, kerajaan negeri turut mengutamakan kepentingan rakyat dalam memastikan negeri ini terus membangun dengan sejahteranya.

Saarani berkat, dalam pembentangan Belanjawan Perak 2026 pada 25 November lalu beliau menekankan bahawa tema ‘Perak Makmur, Rakyat Sejahtera’ diteruskan dengan memberi tumpuan besar kepada kesejahteraan rakyat.

Sejumlah RM718.5 juta diperuntukkan bagi tujuan berkenaan, merangkumi inisiatif berimpak tinggi seperti Kad Perak Sejahtera serta program perumahan termasuk Sayangi Rumahku dan Pinjaman Rumah Perakku Prihatin bagi membantu rakyat memiliki kediaman yang lebih teratur dan selamat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad hadir ke Program Gerakan Koperasi Santuni Masyarakat Orang Asal Negeri Perak di Pejabat JAKOA Batang Padang dan Muallim, Tapah, pada Sabtu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

Beliau berkata, peruntukan besar itu turut memberi manfaat kepada penduduk Batang Padang yang sedang menikmati peningkatan kemudahan, akses perkhidmatan dan pembangunan setempat.

“Dalam aspek mobiliti dan kemudahan awam, Batang Padang menjadi antara daerah terawal menerima perkhidmatan Bas Perak Sejahtera melalui Route 68 yang menghubungkan Chenderiang–Tapah–Chenderiang termasuk ke Taman Eko Rimba Lata Kinjang, salah satu destinasi pelancongan utama negeri ini.

“Seterusnya, pembangunan Bidor Sentral yang beroperasi sejak 15 Disember 2024 turut melengkapi rangkaian pergerakan rakyat melalui terminal bas bersepadu dan hab komersial yang menyediakan pasar raya, kafe, kiosk makanan serta gelanggang permainan, selain menjadi pusat transit ke Ipoh, Pulau Pinang, Melaka dan Johor Bahru.

“Perkembangan ini berjalan seiring dengan pembangunan masa depan daerah, termasuk projek Bandar Baharu Tapah Road yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 100,000 penduduk,” katanya.

Sementara itu, sari sudut pendidikan dan modal insan, kehadiran institusi seperti Sekolah Menengah Sains Tapah (SESTA), UiTM Kampus Tapah dan Maahad Tahfiz Addin menjadikan Batang Padang sebuah daerah dengan ekosistem pendidikan yang lengkap. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI