Bawa isu tanah terbiar diuruskan IPR-INTAN pada NACCOL

IPOH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan membangkitkan isu tanah terbiar milik kementerian yang boleh diusahakan di bawah projek Inisiatif Pendapatan Rakyat-Inisiatif Usahawan Tani (IPR-INTAN) pada Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) akan datang.

Beliau turut mengarahkan supaya perkara itu dilaksanakan segera bagi memastikan projek IPR-INTAN boleh diperluaskan dengan menggunakan tanah-tanah yang dipinjam daripada pihak kementerian.

“Saya sebut tadi tanah Jabatan Penjara, tanah Kementerian Dalam Negeri, tanah Kementerian Pendidikan dan tanah Kementerian Kesihatan perlu dipinjam untuk beberapa waktu (bagi tujuan projek tersebut).

“Bagaimanapun, saya tidak tahu untuk berapa lama, sama ada untuk lima tahun… yang pasti (tanah) harus disediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap selepas mengadakan lawatan ke Projek IPR-INTAN Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) di Hospital Bahagia Ulu Kinta, di sini, pada Ahad.

Hadir sama, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Bawa isu tanah terbiar milik kementerian untuk diusahakan di bawah IPR-INTAN pada NACCOL
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (empat, kiri) merasmikan Projek Inisiatif Pendapatan Rakyat Usahawan Tani IPR-INTAN di Ulu Kinta, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 28 JANUARI 2024.

Dalam perkembangan sama, Anwar berkata, usaha yang dijalankan Kementerian Ekonomi itu sedikit sebanyak membantu keterjaminan makanan negara.

Katanya, menerusi projek ini negara tidak terlalu bergantung kepada import sekali gus memberi peluang kepada golongan B40 dan miskin tegar menambah pendapatan.

“Kita lihat di sini usaha yang dilakukan telah membuahkan hasil, mungkin ada menyatakan kalau konteks keperluan negara itu belum cukup, tapi ini adalah satu permulaan yang penting. Tanggungjawab kita dari segi jalan bagaimana boleh kembangkan.

“Kita kena tahu bahawa negara ini subur tapi import makanan ni memang luar biasa. Cili, bawang, sayur, terung, semua import. Padahal kalau kita tengok tadi (hasil projek IPR-INTAN) membanggakan. Mutu cili dan terung baik,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Wujud 20,000 peluang pekerjaan menjelang akhir 2025 – Rafizi

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI