SUNGAI PETANI – Seorang bayi lelaki yang dipercayai baharu dilahirkan ditemukan tanpa pakaian dan tidak berlapik di atas tanah berbatu di bahu jalan di Taman Cempaka Indah, Bukit Selambau dekat sini, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hanyan Ramlan berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 9.55 pagi.
“Tangisan kuat bayi berkenaan didengari seorang penduduk yang sedang menjemur pakaian sebelum dia bertindak mencari di kawasan sekitar.
“Saksi terkejut lalu menjerit apabila melihat seorang bayi lelaki di bahu jalan. Tidak lama kemudian, beberapa jiran keluar rumah dan membantu membawa bayi itu ke kawasan lebih selamat sebelum menghubungi polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, siasatan mendapati lokasi penemuan bayi tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).
Hanyan berkata bayi berkenaan telah dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk pemeriksaan lanjut.
Beliau berkata polis kini sedang mengesan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun bagi membantu siasatan, manakala seorang lagi remaja perempuan berusia 19 tahun kini berada di wad hospital untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi.
— BERNAMA