Bayi perempuan bertali pusat ditemui belakang tong sampah

IPOH – Seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat dan uri ditemukan dalam besen di belakang tong sampah di Pekan Titi Serong, Parit Buntar pada Rabu.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, bayi yang masih hidup itu ditemukan berhampiran jalan raya utama berdekatan sebuah bengkel motosikal dan kedai runcit sekitar jam 4.50 petang.

Katanya, hasil siasatan mendapati, kejadian itu disedari orang awam yang terdengar bunyi bayi merengek di kawasan tersebut.

“Dan apabila mereka mendengar itu, pengadu telah mendekati kawasan tersebut dan menjumpai seorang bayi yang disimpan dalam sebuah besen dan dibalut kain.

“Orang awam tadi kemudian telah menghantar bayi yang dijumpai itu ke Pejabat Kebajikan Masyarakat dengan menaiki kereta sendiri,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, dekat sini, pada Khamis.

Bayi perempuan bertali pusat uri ditemukan dalam besen belakang tong sampah polis azizi
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 15 OGOS 2024.

Ujar beliau, hasil pemeriksaan ke atas bayi seberat 2.1 kilogram (kg) itu mendapati keadaannya kurang sihat serta tangan kecut.

Menurut beliau lagi, bayi perempuan berkenaan telah dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk tindakan dan rawatan susulan daripada doktor.

“Tiada saksi awam yang tahu akan kejadian ini dan antara tindakan yang akan kita ambil ialah merakam percakapan saksi-saksi.

“Kemudian kita akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa kedai berhampiran untuk siasatan lanjut.

“Dan seterusnya, kita akan menjalankan siasatan melalui kaedah saintifik iaitu asid deoksiribonukleik (DNA) untuk menentukan bayi tersebut,” katanya lagi.

Azizi berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan membabitkan kesalahan menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Seludup dadah guna dron: Polis rekod percakapan lima individu

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI