Bebas atau bela diri, nasib Yusoff Rawther ditentukan 12 Jun ini

KUALA LUMPUR – Bekas pembantu penyelidik, Muhammed Yusoff Rawther akan mengetahui pada Khamis ini sama ada dibebaskan atau diperintah membela diri atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pucuk pistol tiruan.

Mahkamah Tinggi di sini dijadual menyampaikan keputusan sama ada pihak pendakwaan berjaya atau gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Pada 28 April lalu, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Sabri Othman memaklumkan pihaknya menutup kes setelah memanggil 13 saksi sepanjang perbicaraan yang bermula pada 7 April lalu.

Saksi terakhir adalah Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Zuhairi Md. Zuhir, 36, daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Antara saksi yang turut dipanggil ialah Inspektor Wan Muhammad Wan Ali daripada Bahagian Risikan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPK KL), ahli kimia, Harlisa Haidhir Harminder daripada Jabatan Kimia Malaysia dan beberapa anggota polis.

Pendakwaan turut menawarkan tujuh saksi kepada pihak pembelaan sekiranya tertuduh diperintah membela diri nanti.

Sementara itu, peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Muhammed Yusoff berkata, pihak pembelaan menemu bual tujuh saksi yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan.

Pada hari terakhir prosiding, Muhammad Zuhairi memberitahu mahkamah polis menemui satu ketulan disyaki ganja dalam sebuah kenderaan jenis Nissan Teana milik Muhammed Yusoff semasa pemeriksaan dilakukan di hadapan surau IPK KL pada tahun lalu.

Saksi itu berkata, pada awalnya pemeriksaan terhadap kenderaan tersebut dilakukan untuk mencari peluru bagi pistol yang telah dijumpai terlebih dahulu namun pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan dadah berkenaan.

Muhammed Yusoff Rawther didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram dalam kenderaan yang dinaikinya di hadapan surau IPKKL pukul 10.15 pagi, 6 September tahun lepas.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 12 kali, jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa atas pertuduhan memiliki dua pucuk pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara di sini pada 9.25 pagi, hari yang sama.

Pertuduhan dikemukan mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Mahkamah Tinggi turut menetapkan Selasa ini (10 Jun) bagi tarikh akhir sebutan waran tangkap terhadap seorang ‘doktor palsu’ bagi status rayuan pendakwaan terhadap wanita itu.

Pada 30 April lalu, Hakim K. Muniandy menetapkan 26 Mei sebagai tarikh akhir selepas memberi peluang kepada pasukan pendakwaan agar waran tangkap yang dikeluarkan pada 21 April lalu, diserahkan secara fizikal kepada Bunga Melur Alisya Ahmad, 24.

Tarikh 26 Mei itu bagaimanapun ditangguhkan dan mahkamah menetapkan Selasa ini bagi sebutan waran tangkap terakhir.

Pada prosiding terdahulu, mahkamah dimaklumkan waran tangkap terhadap Bunga Melur tidak dapat diserahkan secara fizikal meskipun pihak polis sudah beberapa kali berusaha mengesannya di alamatnya di Setapak.

Alamat itu direkodkan oleh Mahkamah Sesyen dalam prosiding sebelum ini.

Hakim Muniandy turut dimaklumkan, kali terakhir usaha menyerahkan waran tangkap itu di alamat berkenaan dilakukan pada 24 April lalu dan responden turut memberi maklum balas kepada pihak polis melalui WhatsApp, dua hari kemudian.

Pada 21 Februari 2024, bekas penuntut jurusan pergigian itu selaku Orang Kena Saman (OKS) dilepaskan dengan bon jaminan berkelakuan baik selama enam tahun atas dua kesalahan iaitu menjalankan amalan pergigian dan mengendalikan klinik swasta tidak berdaftar.

Wanita itu didakwa melakukan kedua-dua kesalahan kira-kira pukul 12.10 tengah hari, 6 Disember 2022 di sebuah premis kediaman di Taman Danau Kota, Setapak di sini.

Tarikh kejadian merupakan tarikh hari ulang tahun kelahirannya yang ke-21.

Mahkamah Sesyen ketika itu memerintahkan Bunga Melur dilepaskan dengan bon jaminan RM10,000 tanpa cagaran dengan dua penjamin selepas dia mengaku bersalah atas kedua-duanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI