KUALA LUMPUR – Selepas tujuh tahun `turun naik’ mahkamah, kes penyelewengan RM2.3 billion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan Datuk Seri Najib Razak akan diputuskan pada `boxing day’, esok.
Keputusan sehari selepas Krismas itu akan disampaikan oleh Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini hakim Mahkamah Persekutuan) di Mahkamah Tinggi yang bersidang di Istana Kehakiman, Putrajaya.
“Saya akan menyampaikan keputusan pada 26 Disember `on boxing day’ (sehari selepas sambutan Krismas),” ujar beliau pada 31 Oktober lalu ketika mengumumkan tarikh tersebut.
Boxing day yang merujuk kepada hari cuti di negara Komanwel, asalnya bermaksud hari majikan memberi hadiah kepada pekerja namun kini lebih terkenal sebagai hari beli belah mega dan tradisi perlawanan bola sepak.
Selepas mendengar kes itu selama tujuh tahun, Hakim Collin akan menentukan sama ada bekas Perdana Menteri bersalah atau dibebaskan daripada empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan RM2.28 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di ibu negara antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi pertuduhan pengubahan haram pula antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di lokasi sama.
Perbicaraan kes berprofil tinggi kedua yang dihadapi Najib mendapat perhatian seluruh dunia, mengambil masa keseluruhan selama 303 hari termasuk 10 hari penghujahan pada akhir kes pembelaan bermula 21 Oktober lalu.
Prosiding pada asalnya dijalankan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sebelum berpindah ke Istana Kehakiman, Putrajaya apabila Hakim Collin dinaikkan pangkat sebagai hakim Mahkamah Rayuan.
Kes pendakwaan pula berlangsung selama 235 hari dan berakhir pada 30 Mei 2024 selepas mendengar keterangan 50 saksi.
Pada 30 Oktober 2024, Hakim Collin kemudian memutuskan bekas Perdana Menteri membela diri terhadap semua pertuduhan. Kes pembelaan didengar selama 58 hari dimulai dengan keterangan bekas Perdana Menteri pada 2 Disember tahun lalu.
Kes ditutup pada 6 Mei lalu selepas mengemukakan 26 saksi pembelaan dengan saksi terakhir iaitu pakar Forensik Dokumen, Tay Eue Kam.
Antara saksi utama yang memberi keterangan semasa peringkat pembelaan ialah bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Che Lodin Wok Kamarudin, adik kepada Sultan Terenganu, Sultan Mizan Zainal Abidin iaitu Tengku Datuk Rahimah Sultan Mahmud dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Bagi empat pertuduhan salah guna kuasa, Najib didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda hingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram pula, beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Pada prosiding itu, Najib diwakili pasukan peguam diketuai oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dibantu Datuk Tania Scivetti, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, Wan Mohammad Arfan Wan Othman, Hartrisha Kaur Sandhu dan Naresh Mayachandran.
Pasukan pendakwaan pada asalnya diketuai oleh bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram sebelum meninggal dunia pada Januari 2023.
Selepas itu, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib dan dibantu oleh Datuk Kamal Baharin Omar, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam, Deepa Nair Thevaharan, Nadia Mohd Izhar, Najwa Bistamam, Natasha Chin Le Jy, Hazmida Harris Lee dan Siti Aina Rodhiah Shikh Md. Saud. – MalaysiaGazette


