Beberapa kawasan di Perak terima hujan susulan operasi pembenihan awan – Saarani

IPOH – Beberapa kawasan di negeri Perak, khususnya daerah-daerah yang terkesan akibat cuaca panas berpanjangan dilaporkan telah menerima hujan sehingga lewat malam semalam.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia susulan pelaksanaan operasi pembenihan awan yang dijalankan di kawasan tadahan Empangan Bukit Merah yang terjejas akibat cuaca panas tersebut.

“Petang semalam, langit Perak menyambut kehadiran suatu usaha murni yang digerakkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi menangani isu yang sedang menghambat kehidupan ribuan penduduk khususnya sekitar Bukit Merah.

“Alhamdulillah, beberapa kawasan di negeri Perak, khususnya daerah-daerah yang terkesan dilaporkan telah menerima hujan sehingga lewat malam semalam.

“Kita berharap keadaan ini akan berterusan agar paras air empangan dapat dipulihkan secara berperingkat.

“Mudah-mudahan situasi ini membawa kelegaan kepada rakyat, khususnya kepada isi rumah yang terjejas,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya pada Selasa.

Dalam pada itu, Saarani menjelaskan bahawa petani dan pesawah antara yang memerlukan bekalan air bagi menjamin kelangsungan tanaman sebagai sumber rezeki mereka.

“Kerajaan negeri akan terus memantau situasi ini dari semasa ke semasa dan bekerjasama erat dengan agensi-agensi pusat demi kesejahteraan rakyat dan kelestarian sumber air negeri,” ujarnya.

Semalam, Operasi Pembenihan Awan (OPA) diketuai Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)  dilaksanakan di beberapa kawasan terjejas akibat cuaca panas termasuk di Empangan Bukit Merah yang mengalami penyusutan sejak Jun lalu.

Operasi itu dilaksanakan dengan membawa 6,000 liter larutan garam natrium klorida di dalam empat tangki besar untuk disemburkan di sekitar kawasan terjejas menggunakan pesawat milik TUDM jenis C-130 Hercules di Pangkalan Udara TUDM Subang, Selangor.

Operasi yang dilaksanakan itu berjaya apabila hujan lebat berlaku 45 minit selepas operasi tersebut.

Terdahulu, air di Empangan Bukit Merah kini berada pada tahap kritikal susulan musim kering berpanjangan yang melanda negeri Perak sekali gus memaksa pelaksanaan catuan bekalan air ke kawasan sawah di Rancangan Pengairan Kerian. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak gesa Kerajaan Persekutuan segerakan projek pemindahan air

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI