Bekalan air di Pangkor dijangka pulih sebelum Ramadan

IPOH – Lembaga Air Perak (LAP) memberi jaminan gangguan bekalan air yang berlaku di Teluk Nipah dan Teluk Dalam di Pulau Pangkor dijangka pulih pada Mac ini, sebelum Ramadan.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, sebelum ini berlaku kebocoran pada salah satu daripada tiga saluran paip utama rentas dasar laut di sepanjang 3.5 kilometer (km) yang merupakan punca gangguan air berlaku di pulau peranginan itu.

Bagaimanapun, beliau berkata, melalui pemantauan dan analisa selepas kerja pembaikan dilaksanakan, tekanan air masih belum kembali ke paras normal.

“LAP kesan terdapat masalah tekanan air kurang dan sudah membuat siasatan serta mendapati ada sedikit kebocoran di paip dasar laut serta telah membaiki salah satu daripada paip yang berukuran 300 milimiter (mm) pada 5 Februari lalu.

“Bagaimanapun, selepas baiki paip itu tekanan air masih belum naik sehingga semalam.

“Sehubungan itu, kerja-kerja pengesanan dan pengesahan sedang giat diusahakan dengan bantuan juruselam di sepanjang paip terlibat dan kerja pembaikan akan segera dilaksanakan sekiranya didapati masih ada kebocoran dikesan di ketiga-tiga paip dasar laut tersebut,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas berhubung isu gangguan bekalan air di Pulau Pangkor di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Selasa.

Hadir sama, Pengurus Besar LAP, Datuk Ishak Abd Rahman dan Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) LAP, Ir Lokman Abd Rahim.

Dalam pada itu, Ishak berkata, LAP telah menghantar enam lori tangki bagi pengagihan air ke kawasan yang terjejas pada 9 dan 12 Februari lalu.

Menurutnya, lokasi yang terjejas teruk adalah di Teluk Nipah dan Teluk Dalam yang merupakan kawasan hujung bekalan menyebabkan saluran air terpaksa merentasi kawasan tinggi.

“Kawasan bandar tidak teruk sangat, gangguan hanya melibatkan tekanan air rendah sahaja berbanding di Teluk Nipah dan Teluk Dalam, masalah terputus bekalan air memang kerap berlaku,” ujarnya.

Sementara itu, menyentuh masalah tekanan air rendah yang turut mengganggu operasi pengusaha chalet, Mohammad Nizar berkata, kerajaan negeri bersimpati dan memohon maaf di atas kejadian tersebut.

Tambahnya, masalah bertambah serius apabila terdapat pengusaha chalet di kawasan Teluk Nipah yang tidak mempunyai tangki simpanan air dalaman yang sepatutnya disediakan bagi penggunaan air sehari.

“Kita simpati kalau ada yang tempah bilik dan cancel (membatalkan tempahan) pada saat akhir serta ada yang keluar minta ganti rugi, kita tak dapat layan kerana masalah ini berlaku di seluruh pulau.

“Justeru, kita berharap pengusaha chalet dapat bekerjasama dengan LAP dan pihak lain yang berkaitan supaya isu ini dapat diselesaikan,” katanya.

Gangguan bekalan air ini adalah disebabkan permintaan dan penggunaan air yang sangat tinggi semasa cuti perayaan Tahun Baharu Cina serta cuti sekolah.

MG Perak sebelum ini melaporkan lebih daripada 30 pengusaha chalet dan resort sekitar Pulau Pangkor dihantui masalah tekanan air rendah sejak sekian lama sehingga menjejaskan operasi perniagaan mereka.

Pengusaha chalet, Manshor Bakar, 60, berkata, masalah itu menjadi kian ketara apabila tibanya waktu puncak seperti musim cuti sekolah.

Katanya, walaupun dia sudah menyediakan dua buah tangki air, namun ia tidak mampu untuk menampung keperluan sumber air bersih kepada pelancong yang menginap di chalet miliknya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Pengusaha chalet, resort Pulau Pangkor minta segera selesaikan isu tekanan air rendah

 

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI