LUMUT – Masalah gangguan bekalan air di Pulau Pangkor bermula awal Februari ini kembali pulih sepenuhnya dengan pulau peranginan berkenaan sedia menerima kembali kedatangan pelancong.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia selepas masalah kebocoran di beberapa saluran paip rentas dasar laut yang menjadi punca ketiadaan bekalan air di Pulau Pangkor berjaya diselesaikan Lembaga Air Perak (LAP).
Menurut beliau, LAP telah melaksanakan beberapa langkah mitigasi bagi mengatasi masalah ganguan bekalan air termasuklah meningkatkan bekalan air ke daerah Manjung ke paras optimum.
“Selain itu LAP juga melaksanakan pengezonan semula bekalan di kawasan yang terlibat dengan gangguan selain lori tangki air dalam mod bersedia untuk digerakkan dan penyediaan tangki-tangki statik di lokasi-lokasi strategik.
“Dalam pada itu, paras kolam air di Pulau Pangkor juga menunjukkan ‘trend’ peningkatan yang positif manakala kawasan-kawasan yang sebelum ini mengalami gangguan bekalan air termasuk Teluk Nipah, Teluk Dalam dan Sungai Pinang Kecil dilaporkan telah pulih sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Saarani berkata, semua penggiat pelancongan termasuk pemilik chalet dan rumah inapan yang terjejas akibat masalah bekalan air juga sudah boleh kembali beroperasi seperti biasa.
“Walaupun situasi di Pulau Pangkor sudah kembali pulih, LAP akan terus memantau kestabilan bekalan air ke kawasan tersebut bagi mengelakkan kejadian sama berulang terutamanya sepanjang kempen Tahun Melawat Perak 2024,” katanya.
Terdahulu MG Perak melaporkan keresahan pengusaha hotel dan resort di Pulau Pangkor selepas terpaksa berdepan dengan gangguan bekalan sumber air bersih yang memberi kesan langsung sejak hampir seminggu lalu.
Malah, ada antara mereka terpaksa membekalkan beberapa botol air mineral kepada pengunjung sebagai langkah alternatif demi keselesaan pengunjung ke premis mereka dalam tempoh musim cuti sekolah ini.
Pengusaha hotel, Syafiq Rozman, 38, berkata, masalah sehingga menyebab terputusnya bekalan air itu memberi kesan buruk bukan sahaja kepada pengusaha sepertinya, malah ia turut melibatkan hampir keseluruhan ekosistem pelancongan di Pulau Pangkor.
Bagaimanapun Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, LAP memberi jaminan gangguan bekalan air yang berlaku di Teluk Nipah dan Teluk Dalam di Pulau Pangkor dijangka pulih pada Mac ini, sebelum Ramadan. -MG Perak
Artikel Berkenaan:
Setitik air pun ‘tak mandang’ – keluh pengusaha hotel, penduduk Pangkor
Bekalan air di Pangkor dijangka pulih sebelum Ramadan
[…] Bekalan air Pulau Pangkor pulih sepenuhnya – Saarani […]