IPOH – Bekalan daging babi sempena Tahun Baharu Cina mencukupi meskipun industri ternakan itu berdepan kekurangan sejak beberapa tahun lalu akibat penularan Demam Babi Afrika (ASF).
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata, kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), telah mengambil langkah proaktif bagi memastikan bekalan mencukupi dengan meluluskan import daging khinzir daripada 66 rumah sembelih di seluruh dunia.
Menurutnya, setakat ini hanya rumah sembelih daripada sembilan negara yang dibenarkan untuk mengeksport daging babi ke Malaysia melibatkan Australia, Belgium, Brazil, Denmark, Belanda, Kanada, Amerika Syarikat, Ireland dan Perancis.
“Berhubung bekalan untuk Tahun Baharu Cina, saya tidak menafikan berlaku kekurangan di ladang ternakan akibat penularan wabak ASF sejak tahun 2022.
“Justeru, kerajaan telah mengambil langkah memastikan bekalan mencukupi dengan meluluskan import dari 66 abattoir (rumah sembelih) di seluruh dunia.
“Jadi, tiada masalah bekalan (daging khinzir) buat masa ini,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Kilang Sembelih Swasta Baru (Khinzir) Moden di Kawasan Perindustrian Tungzen, Kampung Kepayang di sini pada Khamis.
Hadir sama, Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Datuk A Sivanesan dan Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Maju Bersatu Perak Sdn Bhd, Datuk Leong Siew Seong.
Dalam pada itu, Chan turut menjelaskan, isu harga yang dibangkitkan berpunca daripada kekeliruan antara daging khinzir hidup tempatan dan daging sejuk beku import.
“Mengenai isu harga, terdapat kekeliruan antara life pig (tempatan) dan frozen pork (import). Daging import ada yang mahal seperti Iberico dan ada yang lebih murah. Secara majoritinya, harga daging sejuk beku adalah lebih murah berbanding daging tempatan,” ujarnya.
Beliau berkata, pengguna mempunyai pilihan untuk membeli daging sejuk beku sekiranya tidak mahu membeli daging tempatan, sementara KPKM akan memastikan bekalan sentiasa mencukupi.
“Jika bekalan cukup, tiada alasan untuk kenaikan harga yang mendadak.
“Saya telah berjumpa dengan pengeluar daging babi di Perak yang membekalkan 60 peratus pasaran Semenanjung dan mereka mengesahkan tiada kenaikan harga di peringkat ladang,” jelasnya.
Sehubungan itu, Chan memberi amaran supaya tiada pihak mengambil kesempatan menaikkan harga dengan alasan kekurangan bekalan atau penutupan ladang tertentu. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Cadangan wakil rakyat tinggal di kawasan ternakan babi ‘memang padu’ – Nurul Islam


