TANJUNG MALIM – Stok bekalan darah bagi semua kumpulan di Negeri Perak ketika ini berada pada tahap stabil meskipun permintaan untuk kegunaan pesakit menunjukkan trend peningkatan dari tahun ke tahun.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A. Sivanesan berkata, berdasarkan data Perkhidmatan Perubatan Transfusi negeri, sebanyak 64,416 beg darah berjaya dikumpulkan sepanjang tahun lalu.
Beliau berkata, pencapaian itu hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk organisasi bukan kerajaan (NGO), pertubuhan keagamaan, jabatan dan agensi kerajaan serta institusi pendidikan.
“Permintaan dan penggunaan darah untuk keperluan pesakit semakin bertambah saban tahun. Mengikut statistik, Perak memerlukan kira-kira 80,000 beg darah setahun.
“Bagaimanapun, sehingga kini tiada aduan daripada orang awam yang tidak dapat menjalani rawatan susulan atau pembedahan akibat kekurangan bekalan darah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Apresiasi Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Jabatan Kesihatan Negeri Perak di Hospital Slim River, di sini, pada Sabtu.
Pada majlis itu, Sivanesan turut menyampaikan sijil penghargaan dan plak kepada 36 penderma darah serta 15 penganjur program derma darah di seluruh negeri.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa semua pihak perlu memainkan peranan penting bagi memastikan bekalan darah di Perak sentiasa mencukupi.
Menurutnya, data tahun lalu menunjukkan penderma berulang menyumbang 76.12 peratus daripada keseluruhan pendermaan darah di Perak, manakala penderma baharu hanya 23.87 peratus.
Dari segi demografi, masyarakat Cina merekodkan penyertaan tertinggi sebagai penderma darah dengan 48.32 peratus, diikuti Melayu (39.12 peratus), India (11.40 peratus) dan lain-lain (0.76 peratus).
“Kumpulan orang awam adalah penyumbang terbesar dalam pendermaan darah dengan 61 peratus, diikuti pelajar (34 peratus) dan anggota badan beruniform (lima peratus).
“Apabila seseorang individu itu memerlukan transfusi darah, bekalan darah akan diberi berdasarkan justifikasi klinikal tanpa mengira kaum demi menyelamatkan nyawa pesakit tersebut.
“Ini adalah disebabkan oleh transfusi darah menyelamatkan nyawa pesakit dan keperluannya timbul pada bila-bila masa, di mana jua pesakit tersebut berada. Ketiadaan bekalan darah boleh menyebabkan berlakunya pelbagai implikasi termasuk kematian,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan: