Bekas Ahli Parlimen Kuala Krau mohon maaf isu pembuangan beras

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Mohamed Said tampil mengakui isu tular beras dan barangan makanan lain yang dibuang adalah miliknya.

Ismail yang mengambil tanggungjawab terhadap isu tersebut membuat permohonan maaf dan menyatakan rasa kesal atas kekhilafan dalam memantau cara pelupusan barangan dapur berkenaan.

“Saya mengambil maklum dan berterima kasih atas keprihatinan serta sensitiviti rakyat Malaysia terhadap isu yang tular berkaitan pelupusan beras dan barang dapur di tempat pembuangan sampah berhampiran Jalan Pintasan Rumpun Makmur – Gunung Senyum, Temerloh Pahang.

“Saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap isu pelupusan barangan yang berlaku ini,” kata bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri itu dalam kenyataan.

Menurutnya, beras dan barangan dapur tersebut merupakan stok simpanan yang sentiasa disediakan bagi memenuhi permintaan orang ramai ketika saya menjadi Ahli Parlimen Kuala Krau.

Jelasnya, barangan dapur tersebut disediakan menggunakan peruntukan peribadi sebelum tempoh Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada tahun 2022 dan dalam tempoh berkempen tiada sebarang pemberian barangan kepada orang awam dibenarkan.

Beliau turut menegaskan, pembelian barangan tersebut tidak melibatkan peruntukan Kerajaan Persekutuan atau peruntukan Kerajaan Negeri Pahang.

Katanya, barangan tersebut terpaksa dibuang berikutan aduan daripada jiran yang menyatakan terdapat bau busuk di tempat stor simpanan barangan pada 5 April lalu.

“Hasil siasatan di stor simpanan ini mendapati terdapat beberapa ekor bangkai tikus dan beras serta barangan dapur ini telah dicemari bubuk, kutu beras. Barangan lain juga tidak lagi sesuai untuk diagihkan kepada orang ramai kerana tercemar.

“Sebahagian daripada beras ini telah diserahkan kepada penternak ayam dan itik di kawasan sekitar, dan sebahagian lagi telah dilupuskan,” kata beliau.

Media semalam melaporkan, tular lambakan beras, sardin, tepung dan teh dibuang begitu sahaja di satu lokasi di Kuala Krau.

Insiden tersebut tular selepas dimuatnaik dalam media sosial Facebook di mana lambakan beras tersebut telah dibakar dan lokasinya dikatakan berhampiran laluan pintasan Rumpun Makmur – Kampung Gunung Senyum.

Suasana itu menyebabkan ramai memberi komen negatif dan membuat pelbagai andaian mengapa perkara itu terjadi termasuk antara punca kekurangan beras putih tempatan (BPT) di pasaran sekarang.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu juga telah mengarahkan Kawalselia Padi dan Beras untuk menyiasat kejadian pembuangan beras di Kuala Krau, Pahang.

Mohamad berkata, satu kenyataan rasmi berkaitan insiden itu akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI