TELUK INTAN – Seorang bekas juruteknik pencawang syarikat telekomunikasi yang dipercayai terlibat dalam enam kes kecurian kabel sejak Januari tahun ini diberkas di Taman Industri Anson, pada Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, suspek berusia 35 tahun itu ditahan ketika berada di dalam kereta jenis Proton Gen-2 dalam keadaan mencurigakan sekitar jam 2.30 petang.
Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemui beberapa barangan yang disyaki berkaitan dengan aktiviti jenayah tersebut.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek dipercayai terlibat dalam kes kecurian kabel di sekitar Teluk Intan, Langkap dan Labu Kubong.
“Antara barangan yang ditemui dalam kenderaan suspek adalah lima beg berisi wayar tembaga serta peralatan yang digunakan untuk mencuri kabel antaranya mesin grinder, pemutar skru, spanar, alat pemotong wayar dan pisau boleh laras.
“Selain itu, suspek juga akan berswafoto di hadapan pencawang setiap kali selesai melakukan jenayah tersebut
“Susulan tangkapan tersebut polis berjaya menyelesaikan enam kes kecurian kabel di daerah Teluk Intan dengan jumlah kerugian RM60,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Adnan berkata, hasil semakan mendapati lelaki itu mempunyai empat rekod lampau berkaitan kes kecurian kabel di sekitar Lembah Klang dan narkotik.
Katanya, suspek dipercayai menjalankan kegiatan ini sejak Ogos tahun lalu di sekitar Lembah Klang dan dipenjarakan sehingga Disember. Kemudian, suspek bertindak melakukan jenayah sama di sekitar Teluk Intan bermula Januari lalu.
“Suspek yang positif methamphetamine direman selama tujuh hari mulai 11 Februari lalu bagi membolehkan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan iaitu mencuri,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: