Bekas guru sekolah agama didakwa lakukan amang seksual fizikal terhadap murid 12 tahun

IPOH – Seorang bekas guru sekolah agama mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang murid lelaki berusia 12 tahun, Ogos tahun lalu.

Tertuduh, Muhamad Najmuddin Jamal, 27, membuat pengakuan tersebut selepas jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Hakim, Jean Sharmila Jesudason.

Mengikut pertuduhan, lelaki terbabit yang pada ketika itu mempunyai hubungan amanah sebagai guru didakwa telah melakukan amang seksual dengan menyentuh kemaluan kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun.

Kesalahan itu dilakukan sekitar waktu siang pada Ogos 2024 di sebuah sekolah rendah agama di Jalan Jelapang, Hulu Chepor, Chemor.

Oleh itu, dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan sebat.

Ketika prosiding Timbalan Pendakwa Raya, Nor Arfahanim Azureen Arfanuddin memohon mengenakan jaminan sebanyak RM20,000 terhadap tertuduh berserta syarat tambahan tertuduh dilarang daripada mengganggu mangsa.

Bagaimanpun, peguam bela tertuduh, Khairul Anuar Musa, dalam rayuannya memohon supaya jumlah jaminan dikurangkan, memandangkan anak guamnya yang bekerja sebagai Pegawai Pembangunan Masyarakat di Jabatan KEMAS sejak Februari tahun ini dan memperoleh pendapatan sebanyak RM1,100 sebulan.

“Ibu bapa tertuduh masih hidup. Baru-baru ini, ibunya dimasukkan ke hospital pada Jumaat lalu dan masih belum dibenarkan keluar kerana punca penyakitnya masih belum diketahui.

“Bapanya menghidap penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi, manakala ibunya pula menghidap kolesterol tinggi serta kencing manis,“ katanya.

Menurutnya, tertuduh menanggung kedua-dua ibu bapanya dengan memberikan wang perbelanjaan RM800 sebulan.

“Selain itu, tertuduh turut menanggung adik bongsunya dengan memberi RM200 setiap bulan. Setelah menunaikan semua tanggungjawab tersebut, tertuduh hanya mempunyai baki wang sebanyak RM700 sebulan,“ ujarnya.

Sehubungan itu, Khairul Anuar memohon wang jaminan paling minimum dengan seorang penjamin dikenakan ke atas anak guamnya memandangkan tidak terdapat risiko gangguan terhadap mangsa memandangkan tertuduh bekerja di lokasi yang berbeza.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM9,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan tertuduh untuk melaporkan diri di balai polis terdekat sekali sebulan.

Di samping itu, mahkamah turut melarang tertuduh daripada menghubungi atau mengganggu mangsa dan saksi-saksi dalam kes tersebut, serta menetapkan 25 November untuk sebutan semula kes. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Suami isteri warga Indonesia dituduh aniaya kanak-kanak lelaki hingga maut

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI