Bekas pekerja syarikat media mengaku salah muat naik komen jelik titah Sultan Nazrin

IPOH – Seorang bekas kakitangan sebuah syarikat media tempatan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Selasa atas pertuduhan membuat hantaran jelik dengan niat menyakitkan hati orang lain menerusi Facebook Februari lalu.

Tertuduh, Arif Zulkarnain Ameer Mohd Imam, 50, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu secara sedar telah membuat dan memulakan penghantaran iaitu meninggalkan satu kenyataan pada sebuah artikel bertajuk ‘Khatib enggan baca teks khutbah disediakan keterlaluan, jangan dibiarkan – Sultan Nazrin’ di akaun Facebook Harian Metro dengan niat menyakitkan hati orang lain.

Kenyataan yang dimuat naik itu ialah ‘Bila si fasik berkata-kata dan beri nasihat kepada imam-imam dan guru agama. Dah jauh hanyut nampak depan mata, sungguh meloyakan. Teks yang boleh buat jemaah tidur lena bila dengar’.

Kenyataan itu telah dibaca di Kaunter Aduan Balai Polis Sentral, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, dalam Daerah Ipoh sekitar jam 5.45 petang, pada 25 Februari 2025.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga dua tahu, atau kedua-duanya, dan boleh juga didenda RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan, selepas sabitan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nasrul Hadi Abdul Ghani serta Nurul Hidayu Zakaria, sementara tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) M Saravanan.

Terdahulu, Saravanan meminta mahkamah memberikan tempoh masa bagi tertuduh mengumpul dana untuk membayar denda bagi kesalahan tersebut.

Selain itu, beliau juga memohon agar kadar jaminan minimum dikenakan memandangkan anak guamnya telah diberhentikan kerja sebagai pegawai teknologi maklumat (IT) dari syarikat media terbabit.

“Tertuduh turut memohon maaf kepada semua kerabat Sultan Perak dan rakyat di Negeri Perak (atas kesalahan yang dilakukan),” tambahnya.

Sementara itu, Nasrul Hadi memberitahu mahkamah bahawa pihaknya tiada halangan untuk diberikan tempoh tersebut sementara bagi mendapatkan tarikh untuk fakta kes dan hukuman.

Pada masa sama, pihaknya juga menawarkan wang jaminan sebanyak RM30,000 dengan dua penjamin, serta meletakkan syarat supaya tertuduh melaporkan diri ke balai polis berhampiran dan menyerahkan dokumen perjalanan ke mahkamah.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin, selain perlu menyerahkan passport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Kes disebut semula pada 30 Julai ini untuk jatuh hukum. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Polis jejak pemilik akaun FB komen jelik terhadap MB

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI