KUALA LUMPUR – Bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan wang berjumlah RM2.12 juta.
Muhammad Hafizuddeain, 58, didakwa melakukan perbuatan itu di bank berbeza sekitar ibu negara pada waktu berlainan.
Pertuduhan pertama, bekas PTD ke-30 itu didakwa menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM969,000 yang dimasukkan ke dalam akaun Bank Muamalat Berhad miliknya.
Perbuatan didakwa dilakukan di antara 7 Mei dan 25 Jun tahun lalu di cawangan utama bank berkenaan di Jalan Melaka di sini.
Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa melakukan kesalahan sama melibatkan wang berjumlah RM474,850 yang dimasukkan ke dalam akaun Maybank miliknya di antara 2 Februari 2024 dan 3 Disember 2024, di Menara Maybank di sini.
Pertuduhan ketiga, Muhammad Hafizuddeain turut didakwa melakukan perbuatan itu melibatkan sejumlah RM488,550 yang dimasukkan ke dalam akaun Maybank miliknya di antara 15 Januari dan 7 November tahun lalu di tempat sama.
Bagi pertuduhan keempat, wang berjumlah RM190,000 dimasukkan ke dalam akaun Maybank miliknya di cawangan Bukit Damansara di sini di antara 12 Mac dan 21 Ogos tahun lalu.
Setiap pertuduhan dibuat mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama.
Subsekyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai kesalahan itu atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan Muhammad Hafizuddeain diikat jamin RM250,000 dengan dua penjamin, Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi turut menetapkan sebutan kes pada 30 Mac bagi penyerahan dokumen. -MalaysiaGazette


