Belanja puluhan ribu untuk rumah pusaka ‘Hello Kitty’

DISEBALIK keindahan kampung tradisional Melayu di Kampung Jias di Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar, terdapat sebuah rumah di situ yang kini telah diubah suai menjadi ‘Rumah Hello Kitty’.

Mungkin tiada siapa yang menyangka rumah pusaka yang dahulunya agak daif kini bewajah ceria apabila pada setiap sudut di rumah dilatari dengan warna merah jambu serta dihiasi gambar karakter kucing comel yang berasal dari Jepun itu.

Pemilik Rumah Hello Kitty Kuala Kangsar, Hamidah Abdul Rahim, 53, berkata, selain daripada dalam rumah, tarikan lain seperti taman bunga, lokasi mural, ruang jualan, kedai makan, kincir angin mini yang semuanya dicat dengan warna merah jambu juga dibuka kepada lawatan pengunjung.

 Rumah Hello Kitty Kuala Kangsar Hamidah rumah pusaka rumah tradisional kampung pengunjung bahagian rumah merah jambu
Pemilik Rumah Hello Kitty Kuala Kangsar, Hamidah Abdul Rahim, 53, (tiga,kanan) bergambar bersama pengunjung di hadapan rumah warisan atau rumah pusaka keluarganya yang diubah suai menjadi ‘Rumah Hello Kitty’ di Kampung Jias di Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar. Foto ABDULLAH YUSOF, 18 DISEMBER 2024.

Katanya, pengunjung boleh melawat ke rumah yang diinspirasikan daripada karakter yang dihasilkan pelukis Jepun, Yuko Shimizu, pada setiap hujung minggu, cuti umum dan musim cuti sekolah.

Menurut Hamidah, caj RM3 sebanyak dikenakan bagi dewasa dan RM2 kanak-kanak, di samping bayaran tambahan RM10 akan dikenakan kepada pengunjung ingin merasai memakai pakaian tradisional korea Hanbok.

 Rumah Hello Kitty Kuala Kangsar Hamidah rumah pusaka rumah tradisional kampung pengunjung bahagian rumah merah jambu
Temubual pemilik Rumah Hello Kitty Kuala Kangsar, Hamidah Abdul Rahim, 53, di Kampung Jias di Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar. Foto ABDULLAH YUSOF, 18 DISEMBER 2024.

Anak bongsu daripada lima beradik itu memberitahu, usaha mengubah suai telah bermula secara berperingkat selepas diberi amanah untuk menjaga rumah rumah pusaka milik keluarganya itu pada tahun 2017.

Katanya, dianggarkan hampir RM80,000 telah dibelanjakan termasuk bagi kerja-kerja mengganti bahagian rumah yang uzur, mengecat semula serta menaik taraf bahagian bawah rumah menggunakan dinding bata.

Keuntungan wang ringgit bukan kehendak utama mahu diraih, sebaliknya Hamidah berkata, tujuannya mengindahkan rumah berkenaan adalah usaha untuk mengubah persepsi serong segelintir masyarakat terhadap rumah pusaka.

Pengunjung melihat antara barangan ‘Hello Kitty’ yang terdapat di ‘Rumah Hello Kitty’ di Kampung Jias di Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar. Foto ABDULLAH YUSOF, 18 DISEMBER 2024.

“Kebanyakkan orang apabila disebutkan tentang rumah warisan atau rumah pusaka, mereka akan membayangkan ia sebagai sebuah rumah yang sudah uzur atau usang.

“Selepas saya, generasi ketiga, diberi amanah untuk menjaga rumah ini, maka saya hidupkan ia semula dengan cara saya. Dan pada ketika ini saya bersyukur dan tak sangka, ramai juga peminat Hello Kitty di Malaysia,” katanya ketika ditemui MG Perak di Kampung Jias di Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar.

Hamidah yang juga bekerja sebagai deejay di Jalan Tuanku Abdul Rahman di Ibu Negara berkata, dia juga tidak berasa ralat apabila kerap berulang alik antara Kuala Lumpur dan Kuala Kangsar bagi memastikan keadaan Rumah Hello Kitty sentiasa baik.

Ibu kepada dua cahaya mata itu juga memberitahu, dia bersyukur apabila ahli keluarganya amat menyokong minatnya itu, serta turut membantu dia menjaga rumah berkenaan.

Antara makanan yang terdapat di ‘Rumah Hello Kitty’ di Kampung Jias di Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar. Foto ABDULLAH YUSOF, 18 DISEMBER 2024.
Pemilik Rumah Hello Kitty Kuala Kangsar, Hamidah Abdul Rahim, 53, mengubah suai rumah warisan atau rumah pusaka keluarganya menjadi ‘Rumah Hello Kitty’ di Kampung Jias di Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar. Foto ABDULLAH YUSOF, 18 DISEMBER 2024.

Katanya lagi, segala penat lelah seolah-olah terbayar apabila Rumah Hello Kitty Kuala Kangsar mendapat sambutan menggalakkan apabila tular media sosial sehingga menarik ramai kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara.

“Ketika ia tular, kami menerima kehadiran pelancong seluruh negara, juga mengejutkan saya ada yang datang dari Singapura dan United Kingdom.

“Di samping itu, saya juga tidak menyangka apabila gambar-gambar rumah Rumah Hello Kitty Kuala Kangsar turut tular sehingga ke Indonesia,” ujarnya.

Antara barangan ‘Hello Kitty’ yang terdapat di ‘Rumah Hello Kitty’ di Kampung Jias di Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar. Foto ABDULLAH YUSOF, 18 DISEMBER 2024.

Nilai sentimental rumah pusaka

Hamidah berpandangan rumah pusaka mempunyai suatu nilai sentimental yang tidak ternilai, selain ia dapat diibaratkan sebagai lambang sejarah sesebuah keluarga.

Justeru katanya, secara peribadi dia akan berasa sedih apabila melihat rumah-rumah pusaka di tempat lain yang dibiarkan uzur dan dimamah usia.

 Rumah Hello Kitty Kuala Kangsar Hamidah rumah pusaka rumah tradisional kampung pengunjung bahagian rumah merah jambu
Pemilik Rumah Hello Kitty Kuala Kangsar, Hamidah Abdul Rahim, 53, mengubah suai rumah warisan atau rumah pusaka keluarganya menjadi ‘Rumah Hello Kitty’ di Kampung Jias di Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar. Foto ABDULLAH YUSOF, 18 DISEMBER 2024.

“Pada setiap ruang di rumah pusaka ini penuh dengan memori daripada saat saya dilahirkan dan dibesarkan, sehingga saya sudah ada tiga cucu pada hari ini.

“Cuma apabila struktur rumah ini diperbuat daripada kayu, bahagian bawah saya telah runtuhkan bagi digantikan dengan bahan binaan daripada batu agar ia senang dipelihara. Namun, rumah ibu (ruang utama rumah), masih dikekalkan,” jelasnya.

Menurut Hamidah, pada masa hadapan dia merancang untuk mengubah suai bahagian atas rumah di Rumah Hello Kitty Kuala Kangsar itu sebagai ruang bertema bagi tarikan kanak-kanak lelaki.

 Rumah Hello Kitty Kuala Kangsar Hamidah rumah pusaka rumah tradisional kampung pengunjung bahagian rumah merah jambu
Pemilik Rumah Hello Kitty Kuala Kangsar, Hamidah Abdul Rahim, 53, bergambar bersama pengunjung di dalam rumah pusaka keluarganya yang diubah suai menjadi ‘Rumah Hello Kitty’ di Kampung Jias di Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar. Foto ABDULLAH YUSOF, 18 DISEMBER 2024.

“Ada dalam kalangan pengunjung meminta untuk kami bukakan rumah ini untuk penginapan, namun kami belum bersedia untuk itu.

“Walau bagaimanapun, ia dibuka kepada sesiapa yang ingin menjadikan Rumah Hello Kitty Kuala Kangsar sebagai lokasi mengadakan majlis sambutan hari jadi. Namun mereka perlu melakukan tempahan awal untuk kami lakukan persiapan,” tambahnya. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Pesona merah jambu, rumah pusaka ‘Hello Kitty’

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI