KUALA LUMPUR – MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB) menjangka Belanjawan 2026 terus memberi tumpuan kepada meningkatkan pemilikan rumah bagi pembeli kali pertama, dengan insentif termasuk pengecualian duti setem dan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) bagi menyokong kumpulan berpendapatan rendah hingga sederhana.
Menurut bank pelaburan itu dalam nota penyelidikan hari ini, model pasaran perumahan baharu di bawah pembaharuan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) mungkin turut diperkenalkan seperti konsep Bina Kemudian Jual dan skim Sewa untuk Beli yang dipertingkatkan.
“Model Bina Kemudian Jual menyasarkan mengurangkan risiko kepada pembeli dan jumlah projek terbengkalai tetapi model baharu ini mungkin memberi cabaran dari segi kewangan kepada pemaju yang menghadapi kekangan aliran tunai atau nisbah hutang bersih yang tinggi.
“Dengan risiko kewangan yang tinggi untuk pemaju di bawah model Bina Kemudian Jual – kos pembinaan perlu dibiayai terlebih dahulu – ini akan meningkatkan kos untuk pemaju dan seterusnya mengurangkan penawaran perumahan,” katanya.
Mengenai prospek pasaran, MBSB IB berkata jualan hartanah baharu pada separuh pertama 2025 adalah berdasarkan jangkaan dengan kebanyakan pemaju mengekalkan sasaran jualan mereka selain menjangka momentum yang kukuh pada separuh kedua 2025 berikutan terdapat banyak projek yang dilancarkan.
Merujuk data daripada Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), katanya rumah tidak terjual di Malaysia meningkat untuk suku ketiga berturut-turut kepada 26,911 unit pada suku kedua 2025 – tertinggi sejak 2023 – didorong oleh peningkatan sebanyak 1,990 unit di Kelantan.
Bagaimanapun, katanya pihaknya menjangka sektor hartanah kekal stabil, disokong oleh minat belian yang baik.
“Walaupun rumah tidak terjual meningkat, kami percaya keadaan di negeri-negeri utama terkawal, yang akan mengekalkan sentimen pasaran positif,” katanya. -BERNAMA