IPOH – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memanfaatkan peruntukan tambahan bagi inisiatif Rakan Muda dalam Belanjawan 2026 yang dibentangkan pada Jumaat, sebagai usaha mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan belia.
Menterinya, Hannah Yeoh, berkata pembentangan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyaksikan peningkatan peruntukan sebanyak 60 peratus iaitu RM40 juta bagi program Rakan Muda tahun hadapan.
“Salah satu Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang kita hendak, adalah menggunakan program Rakan Muda untuk membantu kurangkan pengangguran dalam kalangan belia.
“Salah satu faktor yang kita kenal pasti punca kepada pengangguran kumpulan belia apabila ramai dalam kalangan mereka tidak mahir atau fasih dalam Bahasa Inggeris.
“Jadi kita akan gunakan di bawah usaha Rakan Mahir, peruntukan tambahan yang kita ada, untuk kita melengkapkan persediaan dan memperkasakan golongan belia supaya angka pengangguran itu dapat diturunkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Hari Sukan Negara 2025 Peringkat Kebangsaan di Dataran Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, dekat sini, pada Sabtu.
Majlis yang dirasmikan Anwar itu turut dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah, serta Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.
Mengulas lanjut, Hannah berkata, KBS menyambut baik pengumuman Perdana Menteri apabila sektor pembangunan sukan menerima suntikan melebihi RM580 juta melalui Belanjawan 2026.
Beliau menyifatkan pengumuman itu sebagai satu bentuk pengiktirafan dan keyakinan kerajaan terhadap program pembangunan sukan yang sedang dilaksanakan oleh kementerian.
Kata beliau, daripada jumlah tersebut, RM160 juta akan disalurkan bagi Program Podium dan Road to Gold (RTG), manakala RM120 juta diperuntukkan untuk persiapan Temasya Sukan SEA dan Para ASEAN 2027.
“Hasrat kita adalah untuk kita melicinkan lagi permohonan-permohonan Geran Padanan Sukan dan Dana Sukan Komuniti supaya wang ini sampai kepada peringkat akar umbi untuk melaksanakan latihan dan juga persediaan sukan,” katanya lagi.
Pada Jumaat, Anwar yang juga Menteri Kewangan membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat dengan menyaksikan sektor sukan menerima peruntukan lebih RM580 juta.
Anwar dilaporkan berkata, peruntukan berkenaan merangkumi pemerkasaan sukan berprestij tinggi di samping pemerkasaan atlet para dan sukan orang pekak; penyelenggaraan, pembaikan kemudahan belia dan sukan seluruh negara,serta menaik taraf padang sekolah Kementerian Pendidikan seluruh negara. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Belanjawan 2026: Perak HIP, sekolah terapung Orang Asli antara diberi tumpuan