KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mempersoalkan manakah perginya Agenda Memperkasa Ekonomi Bumiputera (AMEB) dalam Belanjawan 2026 yang pernah menjadi tumpuan suatu ketika dahulu.
Naib Presidennya, Datuk Asmawar Samat berkata, persoalan sama ini pernah disuarakan pelbagai pihak sebelum pembentangan Belanjawan 2025, namun sehingga kini ia kelihatan terus dipinggirkan.
Katanya, ketiadaan AMEB dalam naratif utama Belanjawan 2026 amat membimbangkan kerana ia merupakan satu keperluan mendesak dalam memastikan keseimbangan penyertaan Bumiputera dalam sektor ekonomi negara.
“Ekonomi Bumiputera perlu diperkasa untuk menjadikan penyertaan kaum ini lebih berdaya saing.
“Kita tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada kuasa politik kerana pasca PRU-15 telah menunjukkan kuasa yang dulunya signifikan kini telah terbahagi-bahagi,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, jika sebelum ini UMNO menjadi sandaran utama Bumiputera, kini situasi telah berubah.
“Suara tegas dahulu kini menjadi lunak dalam kerangka Agenda Ekonomi Madani, yang lebih menyeluruh namun, dilihat sinonim dengan gagasan ‘Malaysian Malaysia’,” dakwnya.
Tegasnya, Putra akan membangkitkan keresahan terhadap realiti kehidupan rakyat di luar bandar, terutamanya kaum Melayu dan bumiputera yang masih bergantung kepada subsidi untuk menampung kos sara hidup yang terus meningkat.
Katanya, walaupun terdapat bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan subsidi petrol RON95, tetapi jumlahnya dianggap tidak mencukupi untuk memberi impak sebenar kepada isi rumah berpendapatan rendah.
“Mereka umpama diberi peluang menarik nafas sekali, tetapi selepas itu terus batuk berkali-kali,” sinisnya mengulas bantuan STR sebanyak RM100 dan subsidi minyak yang bersamaan RM18 untuk 300 liter.
Dalam pada itu Asmar berkata, Putra terus menyuarakan kebimbangan terhadap masa depan segelintir anak-anak muda yang masih menganggur walaupun telah mencecah usia 30 tahun.
Dalam hal ini kata beliau, kerajaan perlu memperkukuh program latihan dan pembangunan modal insan yang berfokus kepada teknologi dan keusahawanan melalui pendekatan berasaskan intensif modal dan bukan hanya intensif buruh
“Usaha mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing amat dialu-alukan, tetapi apakah kita bersedia melatih anak tempatan untuk menggantikan mereka secara kompetitif?” soal beliau lagi.
Beliau menjelaskan, walaupun pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka pada kadar 4.6 peratus bagi 2026, namun, Putra berpandangan pertumbuhan itu tidak akan memberi manfaat sebenar kepada bumiputera tanpa penyertaan aktif mereka dalam ekonomi berteknologi tinggi, sektor perkhidmatan, perkilangan dan pertanian moden.
Susulan itu, Asmawar mencadangkan agar AMEB dihidupkan semula dengan perancangan menyeluruh yang melibatkan pendidikan, latihan, serta penglibatan sektor korporat dan institusi kewangan.
Putra turut bimbang dengan kecenderungan institusi pengajian tinggi mengambil pelajar luar negara khususnya dari China, meskipun kompetensi mereka diragui.
“Putra mencadangkan tiga pilihan struktur pendidikan tinggi untuk memperkasa Bumiputera: itu mengekalkan nisbah 80 peratus pelajar tempatan dan 20 peratus pelajar luar negara di universiti awam
“Menubuhkan universiti swasta khas untuk pelajar luar negara secara pembiayaan sendiri dan menubuhkan universiti khusus untuk pengukuhan ekonomi Melayu dan bumiputera dengan penglibatan 80 peratus pelajar Melayu, bumiputera dan 20 peratus bukan Melayu.
Asmawar turut menyifatkan Belanjawan 2026 sebagai tiada kelainan dari Belanjawan Madani tahun-tahun sebelumnya, yang hanya menawarkan “gula-gula” seperti STR tetapi, tidak mengubah kedudukan sosioekonomi Bumiputera secara struktural.
“Kaum Melayu dan bumiputera harus bangkit. Sudah tiba masa kita berdiri sama tinggi, duduk sama rendah, bergerak sama pantas dengan bangsa-bangsa termaju dunia,” katanya. – MalaysiaGazette