IPOH – Perak menjadi antara negeri tumpuan dan menerima limpahan manfaat daripada Belanjawan 2026 yang dibentangkan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, pada Jumaat.
Melalui perancangan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Anwar berkata, Perak bakal menerima beberapa projek strategik, termasuk projek Taman Industri Halal Perak (PHIP) atau Perak HIP di Manjung.
“Saya telah turun berjumpa dengan kepimpinan semua negeri untuk memahami keutamaan projek pembangunan negeri. Justeru, perencanaan RMK13 telah mengambil kira permohonan semua negeri.
“Umpamanya di Perak, melibatkan pembangunan kerja-kerja infrastruktur asas PHIP di Daerah Manjung.
“Ekosistem industri halal terus diperkasa. Justeru, kerajaan akan membangunkan Taman Industri Halal Perak dengan kos RM124 juta,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 pada Jumaat.
Selain PHIP, antara yang projek disenaraikan bagi pembangunan negeri di Perak adalah, naik taraf Jalan Persekutuan di Pengkalan Hulu; pembinaan persimpangan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) di Kerian; dan pembinaan klinik kesihatan (Jenis 2) Tanjung Rambutan.
Turut tersenarai adalah, projek menaiktaraf Laluan FT100 ke Laluan FT3145 di Pelabuhan Lumut, Manjung, iaitu fasa lima pembangunan laluan Tanjung Malim-Pelabuhan Lumut.
Sementara itu, dalam aspek pendidikan, Anwar turut mengumumkan peluasan program ‘Chup Badui Sikulah’, iaitu pembinaan sekolah terapung yang di kawasan pedalaman Hulu Perak.
Perdana Menteri berkata, program berkenaan dirangka bagi membantu anak-anak masyarakat Orang Asli yang tercicir pendidikan, dan dijangka akan memberi manfaat kepada 350 anak Orang Asli.
“Iltizam MADANI memastikan komuniti Orang Asli tidak terpinggir, selari dengan prinsip ‘Leave No One Behind’ di bawah SDG (Agenda Matlamat Pembangunan Mampan) 2030,” katanya lagi.
Pada masa sama, Anwar berkata, Belanjawan 2026 juga menyalurkan RM2.2 bilion bagi 43 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) termasuk di RTB Sungai Trong, Larut, Matang Dan Selama serta, RM2.5 bilion bagi jalan perhubungan desa yang juga membabitkan Kampung Pong di Pengkalan Hulu.
Untuk menyemarakkan lagi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, Perdana Menteri juga mengumumkan peruntukan RM25 juta bagi menambah baik kemudahan pelancongan termasuk memulihara tapak Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Beliau berkata ia akan disalurkan ke Taman Negara Gunung Mulu, Sarawak; Lembah Lenggong di Perak; dan FRIM Forest Park di Selangor yang baru diisytihar tahun ini.
Selain itu, Anwar memberitahu, tiga pusat aktiviti perpaduan baharu juga akan dibina dengan kos RM46 juta, dengan salah satunya Pusat Aktiviti Perpaduan Bandar Seri Iskandar. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Belanjawan 2026 guna pendekatan ganding bahu lonjak ekonomi negara