KUALA KANGSAR – Belanjawan Negeri Perak 2026 yang bakal dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad diharap dapat terus memberi tumpuan kepada soal kebajikan rakyat khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderoh.
Pegawai Khas kepada Menteri Besar, Datuk Mohd Ariff Abdul Majid berkata, antara keutamaan diharapkan ialah bantuan kepada golongan miskin serta penyelesaian isu rumah usang yang masih membelenggu sebahagian penduduk.
“Ketika saya meninjau di kawasan mendapati ada beberapa rumah mereka yang dalam kategori miskin amat memerlukan bantuan baik pulih rumah (khususnya akibat usang).
“Isu rumah yang memerlukan baik pulih ini antara yang sering dibangkitkan penduduk setempat kerana ada yang tidak mampu membaiki sendiri. Jadi saya harap perkara itu dapat diberi perhatian dalam belanjawan kali ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyertai dan menyempurnakan majlis penutup Konvoi Bot Sempena Sambutan Hari Malaysia Peringkat Mukim Chegar Galah, di Kampung Jamuan, pada Selasa.
Menurut beliau, selain aspek perumahan, tumpuan juga diharap dapat diberikan terhadap penambahbaikan infrastruktur di kawasan luar bandar di DUN berkenaan.
“Ada jalan kampung dan jalan ladang yang masih perlu diperbaiki. Walaupun banyak jalan sudah elok, tetapi ada satu dua tempat yang perlukan perhatian,” jelas beliau.
Bagaimanapun, Mohd Ariff yakin Belanjawan Negeri Perak 2026 akan terus berpaksikan kepada soal kebajikan serta kesejahteraan rakyat.
Mengambil contoh ucapan Saarani semasa persidangan DUN baru-baru ini, Mohd Ariff berkata, keprihatinan kerajaan negeri dapat dilihat kepada usaha penyaluran RM10 juta untuk institusi pendidikan Islam termasuk di Chenderoh.
“Menteri Besar menyalurkan RM1 juta untuk pembinaan bangunan baharu Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) Madrasah Nurul Kamaliah Al-Islamiah yang sebelum itu berhadapan dengan isu pemilikan tanah.
“Perkara itu berjaya diselesaikan dan saya yakin segala permasalahan yang sama serta berkaitan dengan soal kebajikan rakyat, kerajaan negeri dapat terus beri perhatian,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Hari Malaysia: Kibaran Jalur Gemilang pada 31 bot di Sungai Perak
Saarani zahir keprihatinan kepada rakyat melalui Belanjawan Perak 2025


