IPOH – Para peniaga kecil di sini menaruh harapan tinggi agar Belanjawan Negeri Perak 2026 yang bakal dibentangkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, dapat merangkumi pelbagai inisiatif yang memberi manfaat langsung kepada golongan itu.
Mereka yang ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak memberitahu, ia penting agar peruntukan kerajaan negeri dapat disalurkan kepada beberapa inisiatif di samping memberi lebih banyak perhatian terhadap kelangsungan perniagaan mereka.
Peniaga muda, Zulhairi Haroni, 23, berharap agar sokongan modal dan skim pinjaman kerajaan negeri dapat dipermudahkan kelulusan serta diperluaskan lagi bagi golongan muda yang baru berjinak-jinak dalam dunia perniagaan.
Selain itu, dia yang pernah menjalankan perniagaan menjual pakaian terpakai secara dalam talian berkata, peniaga muda juga sering berhadapan dengan masalah untuk mendapatkan lokasi perniagaan.
“Kerajaan negeri mungkin boleh melibatkan pegawai atau wakil yang ada kepakaran untuk membantu menilai lokasi sesuai bagi peniaga muda seperti saya.
“Dengan cara itu, kami boleh mendapat bimbingan awal tentang di mana lokasi berpotensi untuk tarik pelanggan,” katanya kepada MG Perak.
Sementara itu, peniaga nasi ayam, Wan Norisharudin Wan Din, 41, menekankan keperluan promosi daripada kerajaan negeri melalui agensinya bagi menarik lebih ramai pengunjung ke lokasi perniagaan kecil.
Dia yang lebih 10 tahun berniaga berpendapat, inisiatif itu bukan sahaja akan meningkatkan jualan peniaga, malah turut menyemarakkan lagi aktiviti ekonomi di kawasan tersebut.
“Alhamdulillah memang ada jualan, tetapi tidak capai sasaran jualan. Kalau boleh kerajaan negeri bantu buat promosi, mungkin melalui media sosial atau acara pelancongan, maka pelanggan akan lebih ramai singgah ke tempat kami
“Bagi kami peniaga kecil, kehadiran pelanggan yang ramai sangat penting untuk menampung kos operasi yang semakin meningkat,” ujarnya lagi.
Bagi peniaga nasi lemak, Zaini Hadi Zainuddin, 46, tumpuan pula diminta untuk diberikan kepada aspek kemudahan asas di lokasi perniagaan yang boleh menambah baik keselesaan pelanggan dan peniaga.
Mengambil contoh Tapak Niaga Sejahtera Madani @ Jambo Jet di Taman Lapangan Terbang dekat sini, dia berharap agar kemudahan asas seperti surau, tandas, meja dan kerusi awam dapat diadakan.
“Kini kadang-kadang kami terpaksa sediakan kerusi sendiri, itu pun tidak cukup kalau pelanggan ramai.
“Begitu juga dengan kemudahan asas lain seperti sumber air bersih, surau dan tandas. Perkara kecil seperti ini pun banyak membantu kami,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan: