IPOH – Kerajaan Negeri Perak memperuntukkan dana berjumlah RM2 juta pada tahun hadapan bagi pembangunan sukan bola sepak negeri melalui pendekatan ‘back to basic’ atau kembali kepada asas.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, usaha membina semula akar bola sepak negeri itu melalui pembangunan bakat muda di setiap daerah, memperkukuh program latihan akar umbi, dan menyusun semula struktur dengan lebih tersusun
“Kerajaan negeri amat memahami kekecewaan peminat bola sepak susulan penarikan diri pasukan negeri dari saingan Liga Super, yang bukan sahaja mencalar reputasi pasukan, malah menjadi episod hitam yang mengaburi masa depan bola sepak negeri.
“Kerajaan negeri mendengar pelbagai saranan supaya sinar bola sepak negeri dinyalakan semula, meskipun terpaksa bermula semula dari Liga A1.
“Dengan sokongan peminat, komitmen pemain dan program yang disusun dengan penuh hikmah, kerajaan negeri yakin, tunjang ekosistem bola sepak negeri mampu dikembalikan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Pembentangan Belanjawan Perak 2026 pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Ketiga Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu Saarani mengumumkan peruntukan RM28.15 juta bagi pembangunan sukan di Perak yang meliputi RM7 juta bagi program Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026; RM600,000 bagi bina baharu kemudahan penginapan modular di Seladang Sports Arena, Taiping; serta RM600,000 untuk program sukan dan sukan Orang Kurang Upaya (OKU).
“Turut disalurkan RM0.4 juta pula untuk penganjuran ‘Sports Tourism’; dan RM0.05 juta bagi Sumbangan Bekas Atlet Dan Penggiat Sukan Negeri.
“Ia sebagai mengenang jasa bekas atlet dan penggiat sukan yang pernah menabur jasa kepada negeri dan negara,” katanya lagi.
Pada masa sama beliau berkata, kerajaan negeri juga akan menyalurkan insentif khas berjumlah RM50,000 kepada pasukan Sepak Takraw Perak Bison yang mencipta sejarah baharu dengan menjuarai Liga Sepak Takraw Malaysia (STL) 2025.
“Ia suatu pengiktirafan terhadap semangat juang yang telah menghadiahkan kegemilangan ini kepada seluruh rakyat Perak,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kejohanan Bola Sepak SJKT Perak platform cungkil bakat pelapis


