Beli komputer di kedai isteri, bekas pengurus besar dihadap ke mahkamah

IPOH – Seorang bekas Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tambun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dekat sini, pada Khamis atas pertuduhan salah guna kuasa bagi mendapatkan rasuah RM7,400 empat tahun lalu.

Tertuduh, Wan Khairul Faizee Wan Zulkifli, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ibrahim Osman.

Berdasarkan pertuduhan, dia yang ketika itu sebagai pengurus besar didakwa menggunakan jawatan untuk mendapatkan rasuah bagi diri sendiri apabila meluluskan baucar pembelian sebuah komputer tablet Microsoft Surface Pro 7 bernilai RM7,400.

Kelulusan baucar bayaran melalui invoice bernombor 201111 itu diberikan kepada Syarikat WIA Management And Services yang dimiliki isteri tertuduh, Ruzlin Hafinaz Redzuan.

Wan Khairul Faizee didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat PPK Tambun Bandaraya Ipoh, dalam Daerah Ipoh pada 16 November 2020.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Pahmi Ahmad sementara tertuduh diwakili peguam, Raja Mohd Iskandar Zulkharnian Raja Abdul Malek.

Terdahulu ketika prosiding, Mohamad Pahmi Ahmad mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin serta dikenakan syarat tambahan perlu melapor diri di Pejabat SPRM terdekat pada setiap bulan.

Raja Mohd Iskandar Zulkharnian kemudian memohon mahkamah menawarkan wang jaminan yang setimpal kepada anak guamnya.

Menurut beliau, tertuduh masih menanggung lima anaknya yang masih bersekolah masing-masing berusia 17, 15, 11, lapan dan enam tahun, dengan gaji sebanyak RM4,500 sebulan di samping memberi kerjasama baik sepanjang siasatan dijalankan.

Malah peguam memberitahu mahkamah, Wan Khairul Faizee sudah menetap di Ipoh selama 17 tahun dan oleh itu anak guamnya tiada kecenderungan untuk melarikan diri.

Mahkamah membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan perlu melapor diri di Pejabat SPRM setiap bulan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 20 Ogos sebagai tarikh serahan dokumen dan sebutan semula kes. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Pembantu penguat kuasa JPJ mengaku tak bersalah terima rasuah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI