IPOH – Kerajaan Perak sentiasa memberi tumpuan terhadap pembangunan belia dan sukan di negeri ini.
Pembangunan tersebut adalah untuk memastikan atlet dapat mengekalkan momentum terbaik untuk mencapai prestasi cemerlang sama ada pada peringkat negeri hingga ke peringkat antarabangsa.
Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Politeknik Ungku Omar (PUO) Mohammad Alreean Albine, 22, amat menyokong Belanjawan Perak 2025 yang memfokuskan pembangunan sukan di negeri ini.
“Saya amat menyokong dengan pembentangan belanjawan tersebut kerana ia berkaitan dengan apa yang dilaksanakan bagi pembangunan atlet dan mereka antara yang sering memberi sumbangan kepada negeri Perak dan negara.
“Kita perlu menaik taraf fasiliti sukan kerana ia amat diperlukan segenap masyarakat atau atlet untuk mereka berlatih serta mengasah bakat mereka.
“Saya turut menyokong pemberian insentif kepada bekas atlet yang telah menyumbang bakti kepada Perak,” katanya ketika ditemui MG Perak pada Khamis.
Dia juga berharap supaya atlet di institusi pengajian tinggi (IPT) turut diberi perhatian dengan menyediakan fasiliti lengkap dalam kampus.
“Sebagai belia, saya fokus kepada IPT. Di sini (PUO) kita juga mempunyai atlet tetapi disebabkan kemudahan peralatan yang tidak cukup, mereka perlu keluar (kampus) untuk berlatih.
“Mungkin IPT boleh mempertimbangkan untuk naik taraf serta membuat penambah baikan dari segi fasiliti sukan di IPT,” ujarnya.
Pelajar Tahun Pertama Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik PUO, Melur Addinna Zulkarnain, 18, turut berpuas hati dengan peruntukan diberikan dalam menambah baik kemudahan sukan di negeri ini.
“Bajet yang diberikan diihat dapat membantu membaiki infrastruktur gelanggang bola sepak, takraw, bola jaring dan sebagainya.
“Sebagai pemain petanque, padang yang digunakan perlu dinaik taraf dengan meletakkan bumbung serta membekalkan peralatan yang cukup supaya kami dapat menjalankan latihan dengan lebih selesa,” katanya.
Dalam perkembangan sama, pelajar tahun kedua Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik PUO, Muhammad Nukman Ahmad Zulyadi, 19, memohon supaya kerajaan negeri menambah dana untuk pembangunan sukan elektronik (e-sukan).
“Seperti yang kita tahu Menteri Besar Perak (Datuk Seri Saarani Mohamad) baru mengumumkan peruntukan bajet untuk sukan tetapi banyak diberikan kepada sukan outdoor tetapi sukan indoor macam e-sport (e-sukan) tidak diketengahkan.
“Kalau boleh, kerajaan negeri dapat fokuskan bajet untuk e-sport. Peratusan kemenangan sukan ini juga semakin meningkat malah pada Sukan SEA lalu kita turut menghantar wakil.
“Jadi saya rasa bagus untuk kita fokus kepada e-sport supaya lebih maju dan bila fokus pada bajet, fasiliti dan kualiti akan lebih menarik berbanding sebelum ini,” jelasnya.
Pada 29 November lalu, Saarani mengumumkan di bawah Fokus Ketiga Pembangunan Modal Insan dan Belia, kerajaan negeri memperuntukkan RM21.2 juta bagi pembangunan sukan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Belanjawan Perak 2025: Lebih RM90 juta untuk pembangunan belia