Belia perlu bijak guna peruntukan Belanjawan Perak 2025

IPOH – Belia di negeri ini rata-rata memberi maklum balas positif susulan pengumuman Belanjawan Perak 2025 khususnya peruntukan yang diberikan kepada golongan tersebut.

Ahli Dewan Belia Perak, Hayatul Irdina Khairul Anwar, 23, berkata, peruntukan yang disalurkan kerajaan negeri untuk pembangunan belia dilihat cukup memberangsangkan dan diharap dapat memanfaatkannya sebaik mungkin.

Menurutnya, belia perlu bijak dalam menguruskan peruntukan yang diberikan itu.

“Alhamdulillah saya menerima baik apa yang diberikan oleh kerajaan negeri kepada belia untuk Belanjawan Perak 2025.

“Bagi belanjawan kali ini, kerajaan negeri melibatkan semua lapisan belia termasuk yang di kawasan luar bandar untuk pelaksanaan pelbagai program dan peruntukan yang diberikan itu cukup bagus supaya golongan belia dapat menerima manfaat bersama.

“Alhamdulillah, kita menerima peningkatan peruntukan bagi tahun hadapan dan saya berharap selepas ini kerajaan negeri akan nampak potensi belia untuk menjadikan belia sebagai pelapis aset negeri dan negara,” katanya kepada MG Perak pada Isnin.

Belia perlu bijak guna peruntukan Belanjawan Perak 2025
Ahli Dewan Belia Perak, Hayatul Irdina Khairul Anwar, 23, ketika temubual bersama MG Perak di Ipoh, Perak. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 09 DISEMBER 2024.

Dalam perkembangan sama, penganalisa media sosial, Muhammad Ameerul Haziq Mohd Azman, 25, pula berpendapat peruntukan yang disalurkan dapat membantu membangunkan belia memandangkan golongan itu bakal mencorakkan Perak pada masa akan datang.

Katanya, jika dilihat pada Statistik Perangkaan 2021, kira-kira 30 peratus daripada penduduk di Perak terdiri daripada belia berusia antara 15 hingga ke 30 tahun.

“Jadi kalau ada apa-apa peruntukan kepada belia, itu adalah salah satu inisiatif kerajaan negeri untuk pembangunan modal insan bagi menggerakkan idea serta memberi nafas baharu kepada kami.

“Terima kasih kepada Cikgu Saarani (Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad) serta exco kerajaan negeri, pejabat kerajaan, agensi dan pihak berkaitan kerana memikirkan keberadaan serta mengiktiraf suara belia di Perak,” ujarnya.

Dia berkata, peruntukan yang diberikan itu juga secara tidak langsung dapat membantu belia sebagai persediaan untuk mereka menjadi pemimpin pada masa hadapan.

“Kita tidak mahu definisi menua itu berterusan dan kita kena faham Perak terutamanya di bawah kepimpinan Cikgu Saarani, ini adalah masanya belia untuk mencorakkan pentadbiran akan datang,” jelasnya.

Belia perlu bijak guna peruntukan Belanjawan Perak 2025
Penganalisa media sosial, Muhammad Ameerul Haziq Mohd Azman, 25, ketika temubual bersama MG Perak di Ipoh, Perak. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 09 DISEMBER 2024.

Kerajaan negeri Perak memperuntukkan RM94.84 juta bagi pembangunan modal insan dan belia pada tahun hadapan.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM1.36 juta dibelanjakan untuk memaksimumkan potensi belia sebagai pemimpin negara.

Sebanyak RM400,000 diperuntukkan bagi Program Pembangunan Belia, RM600,000 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia serta RM360,000 untuk Program Jom ‘Healing’ Orang Muda. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Belanjawan Perak 2025: Lebih RM90 juta untuk pembangunan belia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI