GERIK– Keindahan Royal Belum menjadi latar kepada program Belum Forest Connect (BFC) yang menggabungkan pembangunan komuniti, kajian awal potensi perniagaan Orang Asli serta pengalaman eksplorasi biodiversiti dalam salah satu ekosistem paling berharga di Malaysia.
Program tiga hari itu hasil kerjasama strategik antara Pejabat Hal Ehwal Akademik, Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam bersama Pulau Banding Foundation (PBF).
Timbalan Pendaftar Akademik merangkap Pengarah Projek, Zulfa Zainal Abidin berkata, objektif program ini bertujuan memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan tinggi (IPT)dan komuniti setempat menerusi pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman.
“Berteraskan konsep pembinaan pasukan dalam persekitaran alam semula jadi, para peserta diberi pendedahan secara langsung terhadap realiti sosioekonomi komuniti Orang Asli di Kampung Klewang, Royal Belum, melalui kajian lapangan berkaitan potensi serta cabaran perniagaan komuniti.
“Pendekatan ini membuka ruang kepada pemahaman yang lebih mendalam mengenai kehidupan masyarakat setempat serta keperluan pembangunan yang inklusif dan mampan.
“Sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), peserta turut menyampaikan modul pengenalan perniagaan asas dan pengurusan simpanan wang yang berkesan kepada komuniti Orang Asli.
“Usaha ini bertujuan meningkatkan tahap celik kewangan serta memupuk semangat keusahawanan dalam kalangan penduduk kampung sebagai langkah ke arah penambahbaikan ekonomi komuniti.
“Program ini turut menyaksikan penyerahan sumbangan barangan keperluan asas kepada 50 buah keluarga, termasuk kanak-kanak Orang Asli, sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan dan kesejahteraan komuniti setempat,” katanya.
Dalam pada itu, Pengurus PBF, Zulfadhlan Ahmad Khushairi berkata, menerusi aspek penerokaan alam semula jadi, peserta berpeluang mengunjungi dua lokasi air terjun ikonik Royal Belum iaitu Sungai Kooi dan Sungai Ruok.
Menurutnya, di Sungai Kooi, peserta menerima taklimat berkaitan kepelbagaian hidupan liar termasuk 10 spesies burung enggang, harimau Malaya dan gajah, sebelum menyaksikan keunikan air terjun berbentuk shower waterfall yang menjadi tarikan utama kawasan tersebut.

“Sementara itu, di Sungai Ruok, peserta didedahkan kepada kepelbagaian spesies tumbuhan hutan hujan tropika serta menikmati pengalaman berendam di air terjun jernih yang dikelilingi ikan kelah, spesies ikan air tawar ikonik Royal Belum.
“Pengalaman ini bukan sahaja mendekatkan peserta dengan alam semula jadi, malah meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pemuliharaan biodiversiti,” ujarnya.
Beliau berkata, program ini turut membawa peserta menyusuri kawasan hutan Royal Belum bagi menyaksikan sendiri salt lick atau jenut garam di Sungai Papan, iaitu habitat semula jadi hidupan liar yang jarang dilalui orang awam.
“Pendedahan ini memberi gambaran jelas tentang peranan penting ekosistem semula jadi dalam menyokong kelangsungan spesies liar.
“Selain itu, aktiviti water confident di tasik turut dianjurkan dengan penggunaan pembantu apung dan rakit buluh bagi membina keyakinan peserta dalam persekitaran air, di samping menekankan aspek keselamatan serta kelestarian ekosistem akuatik.
“Peserta turut berpeluang menyaksikan kehadiran gajah liar secara langsung di habitat asalnya, satu pengalaman yang jarang diperoleh dan memberi impak mendalam terhadap kesedaran tentang kepentingan perlindungan hidupan liar serta kelestarian hutan hujan tropika Malaysia,” jelasnya.
Zulfadhli berkata, secara keseluruhan, BFC bukan sekadar memperkukuh hubungan antara universiti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat, malah turut meningkatkan kesedaran terhadap peranan komuniti dan alam semula jadi dalam membentuk pengalaman pembelajaran yang bermakna dan lestari. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
UMK bentuk akauntan masa hadapan berteraskan tanggungjawab sosial, alam sekitar


