Benar atau tidak brek bas gagal berfungsi akan dibuktikan – Anthony

GERIK – Dakwaan pemandu bas yang terlibat dalam nahas mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bahawa bas yang dipandunya mengalami masalah brek tidak berfungsi akan dibuktikan dalam tempoh terdekat.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, perkara itu akan dibuktikan menerusi laporan siasatan teknikal yang dilaksanakan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Menurutnya, laporan teknikal itu jangka siap dalam sehari dua lagi dan akan menjadi antara dokumen penting dalam siasatan menyeluruh pihak berkuasa terhadap insiden tersebut.

“Pemandu mendakwa bahawa sewaktu kejadian itu berlaku brek tidak berfungsi. Itu perkara yang boleh kita buktikan sama ada betul atau tidak. Tidak lama lagi.

“Puspakom telah pun membuat siasatan terhadap sistem brek dalam kenderaan itu. Jadi kita tak boleh mengambil secara permukaan saja apa yang dikatakan oleh pemandu tersebut. Mungkin dia sama ada dia bercakap benar atau tidak.

“Itu saya nak bagi amaran dulu kepada pemandu itu jangan cuba nak menyatakan sesuatu yang tidak benar kerana itu boleh dibuktikan melalui ujian mekanikal kita,“ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau lokasi kemalangan dan bangkai kenderaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, bukan hanya pemandu, bahkan syarikat pengendali juga tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang sekiranya didapati gagal menguruskan perkhidmatan mereka dengan sewajarnya.

Tambahnya, sebelum ini memang terdapat kes yang melibatkan syarikat pengendali bas walaupun dia bukan pemandu.

“Sebagai pemilik syarikat pengendali, mereka juga ada tanggungjawab. Dalam kes ini memang saya rasa patut buka kertas siasatan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan selepas itu akan dirujuk kepada Peguam Negara,” katanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Audit besar-besaran menanti syarikat bas, lori – Anthony Loke

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI