Berbeza kumpulan politik, rebut kuasa jadi punca perpecahan umat Islam

IPOH – Semangat persaudaraan atau ukhuwah umat Islam pada masa kini, sama ada di dalam negara mahupun secara global, dilihat tidak sekukuh seperti yang diharapkan.

Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menerusi teks khutbah Jumaat menegaskan bahawa, ‘Ukhuwah Islamiah’ sepatutnya menjadi asas kepada penyatuan Ummah tanpa mengira sempadan kaum, warna kulit atau taraf sosial.

Katanya, di dalam negara, perbezaan kumpulan politik dan persaingan bagi mendapat kuasa menjadi antara punca kepada perpecahan Ummah yang lebih memilih untuk berselisih daripada bersatu.

“Sementara di peringkat dunia, penjajaran pimpinan negara Islam dengan kuasa-kuasa besar menjadi penyebab negara-negara Islam tidak bersatu dalam hal yang menyentuh kedaulatan bumi Islam serta kezaliman dan penindasan terhadap umat Islam.

“Penderitaan yang ditanggung oleh bumi dan rakyat Palestin merupakan gajah di hadapan mata, yang membutakan penglihatan ramai pemimpin Islam,” katanya.

Teks khutbah Jumaat yang disediakan JAIPk bertajuk ‘Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah’ itu dibacakan di semua masjid dan surau diri Jumaat di Perak.

Selain situasi politik dan geopolitik, teks sama menyatakan bahawa, kelemahan ukhuwah Ummah turut berpunca daripada hilangnya sifat ‘al-Ithar’ dan ‘al-Musawah’ walaupun banyak negara Islam dianugerahkan dengan kekayaan.

“Kekayaan itu tidak disalurkan secara bererti yang boleh memberikan manfaat kepada umat Islam yang miskin, tertindas dan terpinggir.

“Sifat-sifat tamak telah menghalalkan pihak yang memiliki kuasa melakukan kezaliman, penindasan, menyalah guna kuasa, rasuah, pecah amanah dan mencuri khazanah negara,” tambahnya.

Justeru bagi mengembalikan kekuatan, teks khutbah itu menyeru umat Islam agar berpegang teguh kepada al-Quran dan sunnah supaya segala keputusan dan tindakan berpaksikan hikmah serta keadilan.

Turut ditekankan adalah kepentingan akhlak mulia dengan mengamalkan keikhlasan, berbaik sangka dan menjauhi fitnah serta cercaan yang merosakkan hubungan sesama Muslim.

“Apabila setiap individu berusaha memperelok akhlaknya terhadap saudara Islam maka akan terbentuk masyarakat yang saling menghormati, saling mempercayai dan saling bersatu hati.

“Ia kemudian membina landasan kukuh bagi penyatuan Ummah yang bukan sekadar bersifat luaran, tetapi berpaksikan nilai-nilai murni yang diunjurkan oleh agama,” ujarnya.

Selain itu teks khutbah juga mengingatkan bahawa kekuatan sebenar umat Islam bukan pada jumlah pengikut atau kekayaan harta, sebaliknya pada kesatuan hati sebagaimana ditunjukkan Rasulullah SAW.

“Jangan biarkan perbezaan pandangan, anutan mazhab, atau pegangan politik kepartian memecahbelahkan ummah.

“Semoga acara-acara yang dianjurkan sepanjang menyambut Maulidur Rasul berjaya menyemaikan keinsafan betapa pentingnya membina ukhuwah agar ummah menjadi Ummah yang bersatu, memiliki kekuatan untuk memimpin dunia bertiangkan syariat,” tambahnya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

‘Sumbangan jangan dibiar kaku dalam tabung masjid’ – Khutbah Jumaat Perak

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI