IPOH – Peniaga Muslim di negeri ini diingatkan supaya tidak dengan sengaja menjual makanan dan minuman secara terbuka pada waktu siang kepada umat Islam yang diwajibkan untuk berpuasa sepanjang bulan Ramadan.
Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, ini kerana perbuatan itu perbuatan yang sering digelar dengan ‘geng plastik hitam’ itu boleh dianggap sebagai bersubahat mencemarkan kesucian bulan Islam itu.
“Walaupun ada peniaga (makanan dan minuman) kita yang sudah membuka perniagaan pada waktu pagi, tengah hari dan sebagainya, untuk kepada mereka yang tidak berpuasa seperti kanak-kanak kecil dan sebagainya, dibenarkan.
“Tetapi sekiranya menjual kepada mereka yang dengan sengaja tidak berpuasa, kita sudah bersubahat dan ia dikira sudah berdosa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Pengumuman Kadar Zakat Fitrah Perak 1447H / 2026M di Ibu Pejabat Zakat Perak Al Ridzuan (ZAPAR), di sini, pada Selasa.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Syamsul Hazeman Md Salleh dan Pengurus Besar ZAPAR, Ahmad Nazim Md Tajuri.
Mengulas lanjut Zamri berkata, isu golongan Muslim yang dengan sengaja tidak berpuasa pada bulan Ramadan merupakan hal yang sering berlaku dan sukar dibendung kerana ia melibatkan pelbagai aspek, khususnya membabitkan soal iman.
Jelas beliau, secara umum ibadah berpuasa tidak boleh dipaksa kerana ia melibatkan kepercayaan dan keimanan dalaman seseorang.
Namun tegas beliau, masyarakat Islam secara amnya perlu memainkan peranan penting dengan berhemas dalam memastikan setiap Muslim dapat melaksanakan Rukun Islam ketiga itu.
“Kita memohon kepada penglibatan masyarakat Muslim yang melihat berlakunya perkara (geng plastik hitam) ini supaya melaporkan (kepada pihak berkuasa agama) atau beri nasihat.
“Oleh itu kita berharap perkara seperti ini dapat terus dikurangkan dan kita juga mengharapkan agar umat Islam peka dalam hal ini kerana ia melibatkan salah satu Rukun Islam,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


