Berhati-hati sebelum salur sumbangan bantu Masjid Ar-Ridzuan

IPOH – Orang ramai dinasihati berhati-hati dan meneliti nombor akaun masjid kariah masing-masing sekiranya berhasrat menyumbang bagi membantu menebus tanah Masjid Ar-Ridzuan, Alor Pongsu, Bagan Serai.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia bertujuan mengelak berlaku kejadian pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan menipu orang ramai.

Saarani berkata, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) telah mengeluarkan pekeliling kepada semua pengerusi masjid di negeri ini bagi menyalurkan sumbangan kutipan Jumaat pada minggu ini bagi tujuan tersebut.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada rakyat Perak yang pemurah dan jika ini menjadi budaya yang baik kepada kita, bagus sebab bila saya cetuskan benda itu, dia memberi peluang dan ruang kepada semua orang, terutama orang Islam, untuk tampil membantu.

“Tapi seperti biasa, seperti yang berlaku, banyaklah berlaku bila ada orang yang memungut derma untuk bantuan kebajikan, dan bermacam-macam ada yang ambil kesempatan terutamanya menggunakan kod QR.

“Jadi, orang yang menderma melalui kod QR itu, kena tengok dia sampai ke mana duit itu sebab akan ada orang yang ambil kesempatan akan cuba memerangkap dermawan-dermawan ini yang akhirnya, mereka tersasar bagi duit dan sampai ke tempat lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Pelancaran Inisiatif Buku Rujukan Tambahan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Program Tuisyen Cikgu Saarani di Foyer Pejabat Menteri Besar Perak di sini pada Rabu.

Turut hadir Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah.

Pada 5 Mei lalu, JAIPk mengedarkan surat kepada semua pengerusi jawatankuasa kariah masjid dan surau diri Jumaat di Perak bertajuk ‘Selamatkan Masjid Jamek Ar Ridzuan, Alor Pongsu, Bagan Serai’

Menerusi surat tersebut JAIPk menyarankan supaya masjid-masjid dan Surau Diri Jumaat (SDJ) menyediakan tabung khas untuk kutipan pada 9 dan 16 Mei 2025 (Jumaat).

Pihak masjid dan surau terbabit akan menyalurkan kutipan itu kepada akaun yang telah disediakan oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) atas nama Tabung Bantuan Bencana dan Kemanusiaan dengan nombor akaun Bank Islam Malaysia Berhad, 08013010091983.

Perak melaksanakan kutipan derma solat Jumaat di negeri ini bagi menebus semula tanah masjid tersebut bernilai RM1.8 juta yang pada awalnya diwakafkan kepada masjid tetapi telah dijual kepada pembeli bukan Islam pada tahun 2012. – MG Perak

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI