Beri saya `beberapa minggu’ sebelum saya jawab – KJ

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin meminta diberi `beberapa minggu’ sebelum bersedia menjawab berkenaan spekulasi kepulangannya semula ke dalam UMNO.

Bekas Menteri Kesihatan itu berkata, beliau menerima banyak pertanyaan berkenaan spekulasi itu, malah terdapat beberapa pihak lain turut membuat kenyataan berhubung perkara tersebut.

“Biar saya jelaskan dengan sejelas-jelasnya: saya tidak pernah meninggalkan UMNO. Kamu semua (UMNO) yang memecat saya.

“Tolong jangan cuba mengubah sejarah,” katanya menerusi hantaran di Insta Story akaun media sosial Instagram beliau hari ini.

Menerusi hantaran itu, Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau turut menyertakan laporan media online yang memetik kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Menurut laporan media itu, Bung Moktar dipetik berkata, Khairy seharusnya kekal komited kepada UMNO sekiranya membuat keputusan untuk pulang semula ke parti itu dan tidak akan meninggalkan parti tersebut sekali lagi.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Khairy sah telah menyatakan hasrat untuk kembali menyertai parti itu di hadapan Ahmad Zahid pada pertemuan di majlis resepsi perkahwinan anak Pengerusi UMNO Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman baru-baru ini.

Memetik sumber, laporan akhbar menyebut, dalam pertemuan tidak rasmi itu, Khairy sendiri telah menyatakan hasrat kepada Ahmad Zahid untuk membincangkan kaedah untuk kembali ke pangkuan parti berkenaan.

Malah, Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau dikatakan dijangka menyertai semula UMNO sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijadual berlangsung hujung bulan depan.

Khairy dipecat daripada UMNO pada Januari 2023 ekoran kelantangannya mengkritik kepimpinan tertinggi parti sepanjang kempen PRU-15 yang menyaksikan beliau tewas ketika diletakkan bertanding merebut kerusi Parlimen Sungai Buloh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI