Beri tumpuan pelancongan Gunung Semanggol – Pembangkang Perak

IPOH – Kerajaan Negeri Perak diminta untuk memberi perhatian kepada produk-produk pelancongan sama ada sedia ada atau yang baharu di sekitar kawasan Gunung Semanggol, di Bagan Serai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunong Semanggol, Razman Zakaria berkata, ia termasuk aktivi mendaki gunung, ‘paragliding’ atau luncur layar.

Ujarnya, Gunung Semanggol merupakan antara lokasi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara khususnya yang meminati aktiviti kegiatan luar seperti luncur layar selain kawasan lain termasuk di Ranau, Sabah.

“Di kawasan tanah tinggi itu mempunyai angin yang cukup baik (untuk aktiviti luncur layar). Malah saya sendiri pernah terbang dari atas gunung itu dengan paramotor.

“Selain itu, Menteri Besar Perak sebelum ini pernah menyalurkan peruntukan untuk kita bangunkan laluan dari kaki bukit hingga ke puncak Gunung Semanggol.

“Apabila orang dari luar datang ke sini, dia akan menginap dan sudah semestinya memerlukan makanan. Ini secara tidak langsung akan merancakkan industri sampingan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media bersempena dengan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Selasa.

Razman yang juga Ketua Pembangkang DUN juga meminta penjelasan berhubung keperluan permohonan kebenaran dan permit daripada Jabatan Perhutanan Negeri bagi sesiapa yang ingin melakukan aktiviti kegiatan luar di Gunung Semanggol.

“Apabila diperkenalkan perlu memohon kebenaran dan permit, ia menyukarkan anak-anak muda datang dari jauh yang minat aktiviti mendaki di kawasan tersebut.

“Kita nak tengok ia sepatutnya boleh jadi satu produk pelancongan menarik, akan tetapi ia seolah-olah sudah menyebabkan industri itu tertutup,” ujarnya.

Tambah Razman, kerajaan negeri juga diminta untuk turut memberi perhatian kepada Tasik Bukit Merah yang mempunyai keindahan sama seperti di Danau Toba, Indonesia.

Malah ujarnya, Pulau Orang Utan dilihat mampu memberi nilai tambah kepada daya tarikan pelancong untuk ke tasik berkenaan.

Bagaimanapun, Razman berkata, pihak pembangkang tidak mempunyai masalah untuk membantu kerajaan negeri bagi mempromosikan produk pelancongan di kawasan masing-masing bersempena dengan kempen Tahun Melawat Perak 2024. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Tahun Melawat Perak 2024: Perak tarik pelancong Hong Kong

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI