MUNGKIN kedengaran seperti tidak masuk akal apabila seorang penjual rempeyek memulakan perniagaannya hanya bermodalkan RM20 sahaja.
Bagaimanapun, itulah realiti dilalui Pengasas dan Pemilik Mama Keen Empire (Makeenz), Assyakirin Abas, 42, yang menggunakan sejumlah wang tersebut untuk membeli bahan-bahan asas membuat rempeyek untuk dijual kira-kira empat tahun lalu.
Dia mula menjual rempeyek apabila perniagaan katering yang diusahakan sejak 2009 lumpuh 100 peratus akibat pandemik Covid-19 pada tahun 2020.
Menurutnya, pada ketika itu, dia menerima tempahan katering dan salah satu menu adalah sambal ikan bilis petai namun disebabkan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) berkuat kuasa pada 18 Mac 2020, tempahan tersebut terpaksa dibatalkan.
“Kebetulan saya ada stok ikan bilis dan dari situ tercetus idea untuk menghasilkan rempeyek. Alhamdulillah, cubaan pertama saya menjadi.
“Kemudian selepas saya lihat suami bawa pulang balang terus saya meminta izin untuk menjual rempeyek dan dia bersetuju dengan cadangan tersebut.
“Dari situ, saya mula menjual rempeyek dalam kawasan taman di Batu Gajah melalui kumpulan sembang Whatsapp dan semakin hari permintaan semakin meningkat sehingga berkembang di seluruh Malaysia.
“Bila tempahan meningkat saya ambil inisiatif mengupah lima orang tempatan terdiri daripada anak-anak muda lepasan ijazah yang masih belum mendapat pekerjaan untuk bekerja serta mencari lokasi dan jalan terbaik untuk meluaskan pasaran.
“Sebagai permulaan, saya mengajar mereka langkah demi langkah serta teknik menggoreng rempeyek dan masa ini saya sudah berpindah ke kedai di Bemban. Alhamdulillah, mereka dapat bekerja dengan baik selama tiga tahun ,” katanya ketika ditemui MG Perak baru-baru ini.
STeP bantu kembangkan perniagaan rempeyek Makeenz
Dalam perkembangan sama, Assyakirin berkata, Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) antara agensi kerajaan negeri yang paling banyak membantu dan membuka jalan untuk dia mengembangkan perniagaan tersebut.
“Menerusi SteP kami mendapat laluan bagaimana untuk mengembangkan perniagaan selain mendapat ilmu khusus melalui kursus yang dijalankan daripada kerajaan negeri.
“Seterusnya, kami diperkenalkan dengan beberapa agensi lain yang turut membantu antaranya Majlis Amanah Rakyat (MARA), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Tekun Nasional, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) dan SME Corp Malaysia (SME Corp).
“Agensi terbabit banyak memberikan ilmu dan dari situ kami dapat cara untuk besarkan pasaran dari rumah pindah ke kedai, akhirnya buka kilang sendiri di Siputeh,” ujarnya.
20 variasi rempeyek dijual penuhi citarasa tempatan
Assyakirin berkata, lazimnya rempeyek yang paling banyak dijual di pasaran adalah jenis ikan bilis dan kacang tetapi Makeenz menyediakan 20 variasi rempeyek yang dijual dalam tiga saiz mengikut citarasa tempatan.
Katanya, antara resipi rempeyek yang diolah dan dijual di Makeenz adalah rempeyek daun kari, daun limau purut, bayam Brazil, daun kunyit dan daun pandan.
“Terbaharu, kami memperkenalkan rempeyek lobak merah dan udang kering di mana upacara perasmiannya disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada Februari tahun lalu.
“Rempeyek ini sesuai untuk semua peringkat umur dari kanak-kanak hingga dewasa dan yang paling best tekstur sangat nipis dan rangup. Ini kerana kami masih membuatnya secara tradisional,” jelasnya.
Menyentuh dari segi harga, Assyakirin berkata, rempeyek keluaran Makeenz ini boleh didapati dengan harga serendah RM5.
Jalin kerjasama dengan Petronas
Ibu kepada empat orang cahaya mata ini berkata, Makeenz turut mendapat pengiktirafan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) daripada Kementerian Kesihatan serta sijil Kelulusan Penandaan Logo Barangan Malaysia yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Katanya, dia turut menyertai Malaysia Fest 2023 di Singapura pada Julai tahun lalu dan Halal Festival di negara sama pada Disember lalu serta memberi peluang rempeyek Makeenz meluaskan pasaran ke peringkat antarabangsa.
Tambahnya, menerusi kerjasama bersama Petronas Dagangan Berhad (Petronas) mereka telah membekalkan 730 cawangan stesen minyak itu di seluruh Malaysia menggunakan original equipment manufacturer (OEM) rempeyek Mesra dengan tiga jenis rempeyek iaitu udang kering, kacang dan daun kari.
“Selain itu, kita turut memasarkannya di 1,100 cawangan Petronas di seluruh negara, 50 cawangan pasar raya Aeon di bawah produk industri kecil dan sederhana (IKS) dan turut dipasarkan di pasar raya mini (mini mart) di hospital serta menjadi pembekal kepada 16 cawangan Dome Café.
“Setiap bulan kami akan mengeluarkan antara 60,000 hingga ke 80,000 balang rempeyek untuk dipasarkan di seluruh negara,“ ujarnya.
Makeenz sasar tembus pasaran luar negara
Seperti usahawan lain, Assyakirin berkata, mereka turut mempunyai sasaran dan mengatur strategi untuk memasarkan rempeyek tersebut ke luar negara.
“Baru-baru ini, kami telah menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan terdapat beberapa wakil dari luar negara menunjukkan minat dengan rempeyek keluaran Makeenz.
“Antaranya, Brunei, Singapura dan China. Buat masa sekarang kami sedang berurusan dengan wakil dari Brunei. Kami berharap kerjasama tersebut dapat termeterai dalam masa terdekat,“ katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: