Bersatu kekal rakan berprinsip, setia dalam PN – Azmin

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengambil pendirian untuk kekal sebagai rakan berprinsip, konsisten dan setia dalam Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerjasama di dalam PN itu akan terus dipelihara demi kestabilan serta kekuatan gabungan.

Menurut beliau, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang bermesyuarat malam tadi juga menyambut nasihat Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya ahli-ahli parti itu kekal beristiqamah, berdisiplin dan menjunjung budaya saling menghormati.

Dalam masa sama, jelasnya, MPT mengambil nasihat supaya sebarang perbezaan diselesaikan secara berhemah, matang dan tertutup demi kepentingan parti.

“MPT juga telah mendengar hujah Muhyiddin yang mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN.

“MPT menghormati keputusan Presiden dan akan mempertahankan keputusan yang telah dibuat atas dasar prinsip dan tanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan.

Malam tadi, Bersatu mengadakan mesyuarat MPT buat pertama kali bagi tahun ini yang dipengerusikan Muhyiddin serta turut dihadiri Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata, Bersatu menafikan sekeras-kerasnya sebarang penglibatan dalam krisis kepimpinan di Perlis.

Sehubungan itu, ujarnya, MPT Bersatu melahirkan rasa kesal kerana ada pihak yang melempar fitnah bahawa parti itu mengkhianati persefahaman dalam PN di negeri tersebut.

Jelasnya, MPT Bersatu telah mendengar penjelasan dari Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah mengenai krisis politik di Negeri Perlis yang telah berlarutan sekian lama, dan berpuas hati dengan penjelasan diberikan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Perlis berkenaan.

“MPT menasihati Menteri Besar dan Badan Pimpinan Negeri untuk terus memelihara perpaduan dan keharmonian serta kerjasama dalam PN di Perlis,” katanya.

Tambah beliau, MPT Bersatu akan terus menjunjung titah nasihat Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail untuk membangunkan Perlis, demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI