Biar pihak berkuasa siasat dakwaan sungai dicemari kumbahan babi

TAPAH – Dakwaan berkaitan kesucian air sungai yang dikaitkan dengan pencemaran daripada ladang ternakan babi di sekitar Tapah perlu diserahkan kepada pihak berautoriti, termasuk Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), untuk tindakan lanjut.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, dakwaan seumpama itu wajar disiasat oleh jabatan dan agensi kerajaan yang berkenaan, bukannya dimanipulasi oleh mana-mana parti politik.

“Pihak yang sepatutnya mengesahkan kandungan (air sungai) sama ada cukup syarat (suci) atau tidak untuk mengambil wuduk, adalah Jabatan Agama Islam.

“Saya yakin jabatan itu mempunyai kaedah sesuai yang dapat menentusahkan kandungan sebenar air sungai berkenaan. Biar Jabatan Agama Islam pergi menyiasat bukan Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Seminar Keibubapaan di Sekolah Menengah Sains Tapah, dekat sini, pada Rabu.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah serta Pengurus Besar Yayasan Perak, Dr Nasreen Khanum Nawab Khan.

Saarani sebelum itu diminta mengulas berkenaan dakwaan PN yang mengatakan aliran Sungai Bidor yang berada di luar Ayer Kuning mengalir ke kawasan DUN berkenaan telah tercemar akibat pembuangan sisa najis babi daripada ladang berdekatan.

Setiausaha Pemuda PN Perak, Nurhafizul Badrul Hisham menerusi hantaran pada laman Facebook pula mendakwa pencemaran itu menjejaskan masyarakat Islam setempat untuk berwuduk daripada menggunakan air dari sungai berkenaan.

Mengulas lanjut, Saarani yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak menyifatkan pembangkang cuba mempolitikkan isu berkenaan meskipun ia telah diperjelaskan oleh Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Negeri, A Sivanesan, dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.

Beliau turut menyifatkan PN sebagai ketandusan isu kerana mahu menimbulkan kegusaran orang ramai dalam tempoh berkempen bersempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang sedang berlangsung ketika ini.

Kata beliau, semua pihak termasuk pembangkang seharusnya berkempen secara damai tanpa perlu menimbulkan sebarang fitnah yang hanya akan memburukkan keadaan.

“Sebab itu saya sebutkan apabila tiba pilihan raya atau dengan sengaja hendak mempolitikkan sebarang isu, mereka akan cari sampai dapat. Termasuklah masuk ke kampung yang berada luar daripada DUN Ayer Kuning.

“Mungkin selepas ini melarat dengan mereka pergi cari jalan rosak di Lenggong sebab Menteri Besar orang Lenggong. Padalah yang sedang pilihan raya adalah di Ayer Kuning,” katanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak nafi dakwaan ladang babi berhampiran masjid, penempatan penduduk

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI