USAHA Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) bagi memastikan bidang pertanian terus diperkasa dilaksanakan menerusi pemberian biasiswa kepada pelajar yang melanjutkan pengajian dalam bidang tersebut.
Justeru, Skim Biasiswa Agrotek Perak SADC- Yayasan Perak (YP) diwujudkan pada 2022 bagi membiayai mahasiswa yang mengikuti pengajian sepenuh masa di institut pengajian tinggi (IPT) terpilih dalam bidang pertanian, perladangan, teknologi, dan inovasi pertanian.
IPT yang terlibat termasuklah, Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS).
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Industri Pertanian Universiti Sultan Azlan Shah, Syukri Rahman Ali, 24.
Foto ANIQ NABILAFIQ ANUARPelajar Ijazah Sarjana Muda Industri Pertanian USAS, Syukri Rahman Ali, 24, berkata, biasiswa tersebut memudahkan pelajar untuk menyiapkan projek tahun akhir yang lazimnya memerlukan modal besar.
“Kursus pertanian ini banyak makan modal seperti projek tahun akhir atau perkara melibatkan kerja lapangan yang memerlukan wang tambahan untuk dibelanjakan.
“Contohnya projek akhir tahun atau penghasilan produk, kita boleh menggunakan wang biasiswa selain mengurangkan perbelanjaan harian daripada bergantung sepenuhnya menggunakan duit poket sendiri,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak.
Anak sulung daripada dua adik beradik yang berlatar belakang keluarga pekebun kecil getah dan kelapa sawit itu berkata, dia terinspirasi daripada ayahnya yang pernah menjadi pegawai Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) untuk melanjutkan pengajian dalam bidang pertanian
“Saya mengambil ilham daripada keluarga sendiri untuk bergiat aktif dalam bidang pertanian dan juga menerusi dorongan sahabat yang mengusahakan tanaman pisang,” ujar pelajar tahun ketiga universiti tersebut.
Kini, dia turut bekerja mengutip getah secara kecil-kecilan untuk membantu menyara kehidupan sambil melanjutkan pelajaran.
Boleh fokus belajar tanpa risau tentang yuran pengajian
Lim Xiao Wei, 23, pula berkata, pemberian biasiswa itu banyak mengurangkan beban ibu bapanya, sekali gus membolehkan dia memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pengajian.
“Saya boleh fokus dengan pembelajaran saya tanpa perlu bimbang dengan yuran pengajian.
“Elaun yang diterima juga banyak membantu dalam perbelanjaan harian di universiti,” katanya pelajar tahun ketiga Ijazah Sarjana Muda Sains Pertanian UPM itu.
Dia turut berhasrat untuk menghasilkan produk makanan yang tahan penyakit dan cuaca panas bagi menyumbang kepada jaminan sekuriti makanan negara.
Terus kekalkan CGPA 3.0 ke atas
Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR
Bagi, K Sharveanthiran, 24, biasiswa yang diterima menjadi titik perubahan dalam usahanya mengejar cita-cita sebagai usahawan muda dalam bidang pertanian.
Dilahirkan dalam keluarga yang kurang berkemampuan, penuntut tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Agroteknologi UMK itu menjelaskan sebelum ini yuran pengajian ditanggung keluarga dan bantuan pinjaman dari Perbadanan Tabung Pendidikan Negara (PTPTN).
Katanya, pada semester pertama, kos yuran pengajian agak tinggi dan baki wang yang diterima selepas ditolak daripada pinjaman tidak cukup untuk menampung kehidupannya di universiti berkenaan.
“Bagaimanapun, selepas saya menerima biasiswa ini pada semester keempat, saya peroleh baki RM2,500 (selepas segala yuran pengajian ditolak bagi semester berkenaan) dan jumlahnya meningkat kepada RM4,500 bagi semester berikutnya.
“Baki wang itu sangat banyak dan digunakan sepenuhnya untuk perbelanjaan makan, minum dan memandangkan di tempat saya belajar tiada hiburan saya hanya fokus sepenuhnya pada pengajian.
“Dari situ saya berusaha untuk mengekalkan CGPA (purata nilai gred kumulatif) 3.0 dan ke atas iaitu kelayakan bagi pelajar yang ingin mendapatkan biasiswa tersebut.
“Terima kasih kepada SADC dan YP kerana bantuan biasiswa ini amat bermakna kepada saya yang datang dari latar belakang keluarga yang kurang berkemampuan,“ ujarnya yang berhasrat untuk menjadi usahawan muda dalam bidang pertanian pada masa hadapan.
Mahu bangunkan kampung sebagai pusat agropelancongan
Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR
Sementara itu, Muhammad Amin Abdul Rahman, 22, penuntut tahun ketiga Ijazah Sarjana Muda Industri Pertanian (Tanaman Makanan) dari USAS pula berkata, pemberian biasiswa itu amat bermakna bagi dirinya.
“Biasiswa ini penting kerana membantu meringankan beban keluarga saya untuk menanggung yuran pengajian.
“Selain itu, dapat memberi input yang lebih kepada saya untuk mencuba benda baharu contohnya untuk mengusahakan apa-apa untuk pendapatan sampingan bagi membantu keterjaminan makanan pada masa hadapan,“ jelasnya.
Dalam perkembangan sama, dia menceritakan bahawa dia turut mengusahakan tanaman pisang dan menjual hasil diperoleh untuk wang belanja tambahan.
“Cita-cita saya nak membangunkan kampung sebagai pusat agropelancongan bagi utara Perak.
“Jadi ini lebih menyakinkan saya untuk mengambil bidang pertanian terutamanya tanaman makanan sekali gus meningkatkan lagi keselamatan keterjaminan makanan di Malaysia,“ katanya.
Peruntukan RM1 juta setahun
Perak SADC memperuntukkan RM1 juta setahun bagi biasiswa tersebut dan seramai 65 pelajar telah terpilih sejak dilancarkan dengan 22 daripadanya telah menamatkan pengajian.
Pemberian biasiswa ini mencerminkan komitmen dalam melahirkan tenaga pakar dalam bidang pertanian, perladangan, teknologi makanan dan hortikultur, iaitu sektor-sektor yang menjadi tunjang sekuriti makanan dan ekonomi negeri.
Matlamatnya jelas untuk melahirkan modal insan pertanian yang berkemahiran tinggi, progresif dan berdaya saing, seiring dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030 dan Dasar Agromakanan Negara 2.0 yang menekankan keterjaminan bekalan makanan, pemodenan pertanian dan kemampanan sumber. – MG Perak
Artikel Berkaitan: